Penolong Pegawai Perikanan dituduh terima suapan RM1,700 - Utusan Malaysia

Penolong Pegawai Perikanan dituduh terima suapan RM1,700

Perikanan
MUHD. Shahrir Sha’arani diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai gred 32 berdepan penjara 20 tahun dan denda apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima suapan sebanyak RM1,700 untuk mengeluarkan Sijil Kesihatan Ikan Hiasan daripada Jabatan Perikanan Malaysia, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhd. Shahrir Sha’arani, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya, pagi tadi.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perikanan di Pusat Biosekuriti Perikatan Selangor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang berjumlah RM1,700.

Wang tersebut diperolehi  daripada seorang lelaki berusia 43 tahun melalui akaun milik seorang wanita berusia 45 tahun sebagai dorongan bagi tertuduh mengeluarkan Sijil Kesihatan Ikan Hiasan dari Jabatan Perikanan Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Seksyen 16 di sini pada 6 dan 8 Disember 2022. 

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawa Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa Mohd. Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan. 

Sebutan semula kes ditetapkan 5 Jun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×