PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengumumkan keuntungan selepas cukai, faedah minoriti dan zakat (PATAMI) untuk suku pertama 2024 meningkat 33.6 peratus iaitu sebanyak RM75 juta berbanding RM56.2 juta pada suku sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu dipacu peningkatan pendapatan operasi sebanyak 23 peratus kepada RM123.1 juta, manakala jumlah perbelanjaan operasi keseluruhan meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada RM87.1 juta RM80.2 juta pada suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kumpulan telah memulakan tahun kewangan ini dengan kukuh berasaskan momentum positif tahun lalu.
Katanya, purata nilai dagangan harian (ADV) untuk dagangan dalam pasaran (OMT) pasaran sekuriti meningkat sebanyak 36.9 peratus kepada RM2.9 bilion daripada RM2.1 bilion pada suku pertama 2023.
“Kenaikan ini menyumbang secara besar-besaran kepada pendapatan operasi yang lebih tinggi pada suku ini,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Muhamad Umar, halaju dagangan turut mengalami peningkatan sebanyak lapan mata peratusan kepada 39 peratus pada suku pertama 2024 daripada 31 peratus pada suku sama tahun lalu.
“Selain itu, perkhidmatan penyenaraian dan penerbit naik 8.9 peratus kepada RM16.3 juta pada suku pertama 2024 daripada RM15 juta, manakala perkhidmatan depositori meningkat 18.3 peratus kepada RM15.5 juta daripada RM13.1 juta pada suku sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pendapatan operasi Pasaran Derivatif meningkat sebanyak 12.7 peratus kepada RM31.8 juta daripada RM28.3 juta pada suku sama 2023 didorong terutamanya oleh peningkatan dalam kontrak purata harian (ADC) dalam kedua-dua Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI).
“Ia secara kolektif mendorong ADC Pasaran Derivatif lebih tinggi sebanyak 18 peratus tahun ke tahun kepada 84,222 kontrak pada suku pertama tahun 2024.
“Pertumbuhan dalam ADC menyebabkan peningkatan sebanyak 18.2 peratus dalam pendapatan perdagangan derivatif, meningkat kepada RM25.4 juta pada suku pertama tahun ini dari RM21.5 juta pada suku sama 2023,” katanya
Dalam pada itu, katanya, pendapatan operasi pasaran Islamik tetap stabil pada RM4.5 juta yang mencerminkan prestasi suku yang sama sebelumnya.
“Segmen perniagaan data menunjukkan pertumbuhan signifikan dengan pendapatan operasi meningkat sebanyak 21.9 peratus kepada RM19 juta dari RM15.6 juta pada suku pertama tahun lalu.
“Bursa Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk terus membangunkan pasaran dan membuat kemajuan lebih lanjut dalam pelan strategik.
“Kita mengharapkan momentum pertumbuhan dalam perniagaan data dengan Pelan Centralised Sustainability Intelligence (CSI) yang akan memupuk ketelusan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, dijadualkan untuk dilancarkan pada Jun 2024,” katanya.
Tambahnya, Platform SME X yang baru dilancarkan juga akan menyumbang kepada pertumbuhan itu dengan menghubungkan usahawan kecil dan sederhana kepada pembekal modal untuk pengumpulan dana.-UTUSAN










