KOTA BHARU: Polis Kelantan berpadu tenaga dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha mengekang kemasukan dadah baharu iaitu fentanyl ke negara ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kemasukan itu dikesan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 807.9 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM44.4 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Disember tahun lalu.
“Kita percaya ada cubaan membawa masuk dadah berkenaan dan kita di sini perlu lebih bersedia dengan mendapatkan panduan yang lebih tepat.
“Malah kita yakin nama dadah ini akan berubah-ubah dan ia perlu dikaji secara teliti supaya kemasukan ini dapat disedari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, dadah jenis fentanyl ini sangat kuat iaitu 100 kali lebih kuat daripada heroin dan 20 atau 40 kali lebih kuat daripada mofin.
Katanya, jika dilihat dalam media sosial, ada negara di mana berlaku kes rakyatnya menjadi ‘zombi’ disebabkan dadah jenis itu.
“Tujuan kita membuat pendedahan ini adalah untuk memberi kesedaran awal kepada semua pihak bukan menakutkan orang ramai.
“Justeru, kita perlu sama-sama mengekang kemasukan dan penyeludup dadah kerana ia sangat berbahaya sekiranya berleluasa di negara kita,” ujarnya. – UTUSAN










