KUANTAN: Tiada seorang pun daripada lebih 33 juta rakyat negara ini boleh menyatakan mereka selamat dan bebas daripada ancaman dadah.
Ini kerana evolusi dadah ketika ini semakin canggih dan pengedarannya pula dalam pelbagai bentuk sehingga tidak disedari ia adalah bahan terlarang tersebut.
Dadah berasaskan kimia seperti syabu dan pil kuda bukan sahaja memberi kesan buruk kepada pengguna malah mengancam kesejahteraan dan keselamatan keluarga serta masyarakat.
Lebih menggerun dan menakutkan adalah ancaman serta kesan dadah yang mengandungi bahan psikoaktif baharu (NPS) sepertimana melanda Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.
Sebelum ini dilaporkan, terdapat 900 jenis dadah NPS dikesan dalam pasaran tempatan dan global sekali gus menjadi isyarat bahan khayal itu berevolusi secara drastik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden dan Pengasas Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Khalid Hashim berkata, fenomena penagihan dadah di Malaysia makin serius dan semua rakyat terjejas secara langsung atau sebaliknya.
“Berdasarkan perkembangan terkini berkaitan dadah, tidak ada seorang pun boleh menjamin bahawa mereka selamat daripada dadah, anak-anak mereka takkan mengguna dadah atau ahli keluarga mereka tidak akan ambil dadah.
“Saya kata begini kerana sindiket dadah terancang ketika ini, mereka buat dadah terlalu terperinci. Kita tidak percaya macam mana sindiket ini boleh buat dadah yang rasanya sama seperti ganja malah ia lebih sedap dan ‘stim’ daripada ganja.
“Sindiket dadah sintetik atau NPS ketika ini perkembangannya terlalu pantas sama seperti telefon bimbit, begitu ke hadapan. Dadah jenis ini (NPS) lebih bahaya daripada dadah yang ada ketika ini dan sebelum ini. Rasa dan rangsangannya lebih kuat sehingga boleh mengancam nyawa serta keselamatan.
“Banyak antara dadah NPS ini masih tiada dalam akta, jadi tiada tindakan boleh diambil. Kalau kita masih di takuk lama, mentaliti lama, isu dadah di negara ini akan lebih serius, kritikal dan sukar dikawal,” katanya di sini semalam.
Khalid berkata, jika dahulu kesan penyalahgunaan dadah tradisional seperti ganja dan heroin mengakibatkan masalah ketagihan, tidak produktif, selekeh dan berpenyakit, namun trend dadah sintetik pada ketika ini tidak seumpama itu.
“Kesan pengambilan dadah sintetik lebih dahsyat daripada apa yang difikirkan. Hanya dalam bentuk pil (pil kuda atau yaba), kristal atau hablur (syabu, ice, batu) dan ekstasi, tetapi implikasinya bukan sekadar gila, malah boleh membawa kepada perbuatan jenayah berat,” katanya.
Beliau berkata, apa yang membimbangkan ketika ini adalah penularan dadah sintetik fentanyl yang dikenal pasti menjadi punca krisis ketagihan serius di AS.
Menurutnya, kesan ketagihan dadah sintetik tersebut menyebabkan bandar Philadelphia di AS seakan-akan dihuni ‘zombi’.
“Keadaan itu tidak pernah terjadi sebelum ini, namun sejak dadah jenis baharu menyusup masuk ke negara itu menyebabkan penagih dadah kelihatan seperti mayat hidup atau lebih dikenali sebagai ‘zombi’.
“Video ‘zombi’ di Philadelphia tular dalam media sosial memaparkan dengan jelas beberapa individu kelihatan terhuyung-hayang dan berada dalam posisi pelik selain tidak dapat mengawal diri dengan baik.
“Dadah jenis ini difahamkan sudah pun masuk ke Malaysia. Jika terlepas dan dibiarkan memang ia jadi satu ancaman besar buat negara, memang ramai jadi zombie seperti di AS,” katanya.
Beliau berkata, dadah jenis fentanyl yang didakwa 100 kali ganda lebih kuat daripada morfin itu boleh mengubah penagihnya menjadi seperti ‘zombi’ jika dicampurkan dengan dadah lain seperti xylazine.
“Ia berikutan habit penagih yang terus setia menggunakan sesuatu yang dapat menghayalkan mereka‚” katanya.
Menurutnya, beliau bimbang jika dadah fentanyl ‘menyerang’ golongan penagih di negara ini, zaman ketagihan heroin seperti mana berlaku di Chow Kit sekitar tahun 1970 hingga 1980 berulang.
“Pada ketika itu, keadaan di Chow Kit memang teruk. Orang buat tak tau sahaja, cucuk heroin secara terbuka di situ, orang amik upah cucuk pun ada, ia terbuka. Penagih tidur bergelimpangan, saya berada di situ dan melihatnya,” katanya.
Khalid berkata, selama 40 tahun kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983, isu penagihan bahan terlarang tersebut semakin berkembang menjadi masalah yang cukup kritikal di seluruh negara.
Katanya, ia mengakibatkan bukan hanya kerugian wang ringgit malah yang paling membimbangkan adalah kehilangan modal insan yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara.
“Gejala ini dilihat semakin meruncing apabila saban tahun statistik penagih dadah baharu dan penagih berulang semakin meningkat dan tidak menunjukkan pengurangan.
“Ia terbukti apabila kita dapat melihat di negara ini pada ketika ini terdapat 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang menyediakan rawatan dan pemulihan kepada mereka yang disahkan sebagai penagih dadah. Di penjara, lebih 60 peratus banduan adalah pengguna dadah,” katanya.
Selain itu beliau berkata, penyalahgunaan dadah yang berleluasa kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, tetapi juga melibatkan remaja yang masih bersekolah.
“Saya dan Komited setiap hari berada di lapangan dan bertemu serta mendekati golongan penagih. Bukan sahaja remaja seawal usia 12 tahun, guru, peguam, doktor pun ambil dadah. Kita juga jumpa imam dan pelajar tahfiz pun hisap dadah.
“Kita boleh katakan jumlah penagih dadah yang ditahan di penjara ketika ini hanya sekitar 20 peratus sahaja, 80 peratus lagi penagih masih bebas,” katanya.
Menurutnya, penyalahgunaan dadah berleluasa kerana bahan terlarang itu begitu mudah dan cepat diperoleh ketika ini, jiran sebelah rumah serta budak sekolah pun menjual bekalan berkenaan.
Dahulu katanya, mahu mendapatkan dadah perlu menunggu lama dan terpaksa berjalan jauh apabila bekalan terputus.
“Apa isyaratnya ini, ia menandakan masalah dadah begitu kritikal ketika ini. Orang tidak tahu di lapangan macam mana. Ia terlalu serius sehinggakan ice dan pil kuda pun penagih cucuk sekarang. Bila cakap, ramai tidak percaya tapi itulah hakikatnya.
“Masalah dadah perlu ditangani secara serius kerana ia ketika ini ibarat ‘bom jangka’ yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak dikendalikan dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN










