PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad mencapai kadar pengambilan 100 peratus untuk The Corak, sebuah hub komersial seluas 32 ekar di Bandar Serenia, Sepang, dekat sini yang diyakini berpotensi menjadi tarikan pusat rekreasi dan dan sosial di bandar itu.
Sime Darby Property berkata, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM186 juta dijangka akan memperkasakan perbandaran tersebut dan memberi kemudahan kepada penduduknya.
Justeru, pemilik perniagaan dan para pelabur merebut peluang untuk menjadi sebahagian daripada hab komersil tanah kekal yang pertama di perbandaran tersebut, yang dijadualkan siap menjelang 2027.
“Hab komersil ini juga berkemungkinan dapat meluaskan peluang pekerjaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di Bandar Serenia,” menurut kenyataan.
The Corak menawarkan sebanyak 98 unit pejabat kedai dua tingkat dan satu unit pandu lalu dengan luas binaan dari 3,358 kaki persegi hingga 5,233 kaki persegi.
Pembangunan dengan harga jualan bermula dari RM1.7 juta hingga RM3.3 juta itu menawarkan reka bentuk moden dengan penempatan papan tanda yang strategik, binaan tingkap yang tinggi untuk ruang kafe dan lain-lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, The Corak direka untuk meningkatkan landskap perniagaan di Bandar Serenia dengan menyediakan persekitaran efisien.
“Kadar pengambilan yang kukuh ini mencerminkan keyakinan peniaga terhadap Sime Darby Property seterusnya membuktikan daya tarikan The Corak sebagai destinasi utama yang berpotensi untuk memenuhi keperluan bandar yang pesat membesar,” katanya.
Tambahnya, komuniti perniagaan menaruh kepercayaan mereka dalam dedikasi Sime Darby Property untuk mencipta persekitaraan yang khususnya direka untuk memenuhi keperluan mereka.
“Ini merupakan sebuah komitmen yang selaras dengan matlamat syarikat sebagai pengganda nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet, selain memupuk kelestarian generasi dan komuniti yang proaktif.” ujarnya.
Dengan daya tarikan positif untuk demografi yang dinamik, pemilik perniagaan di The Corak boleh memanfaatkan anggaran populasi seramai 500,000 yang berada di dalam lingkungan masa pemanduan selama 20 minit dari hab perniagaan ini.
Lokasi kedudukan strategi bagi The Corak yang terletak di sepanjang jalan utama di Bandar Serenia.
Selain itu , kedudukan The Corak berdekatan dengan akses kepada tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara Selatan Linkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX). – UTUSAN







