PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bekerjasama dengan China Northeast Electric Power Engineering & Services Co. Ltd (NEPCS) untuk membekalkan sumber tenaga kerja bagi Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) Loji Janakuasa Kitar Padu (CCPP) di Bangladesh.
Kerjasama tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Malakoff Technical Solutions Sdn. Bhd. (MTSSB).
Ini merupakan penglibatan pertamanya dalam projek O&M kelas H, yang membolehkan Malakoff memperluaskan kepakaran dalam teknologi ini dan seterusnya menerokai peluang bagi memenuhi permintaan CCPP yang semakin meningkat di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kerjasama itu merupakan bukti komitmen Malakoff dalam memperluaskan kepakaran teknikalnya ke peringkat antarabangsa sambil terus meningkatkan lagi kecemerlangan operasinya.
“Kami mempunyai kepakaran serta kemahiran dan tumpuan kami dalam O&M adalah untuk menjalinkan kerjasama strategik bagi terus meningkatkan daya saing serta mengoptimumkan prestasi perniagaan kami.
“Saya yakin dengan menghantar tenaga kerja kami ke projek CCPP di Bangladesh ini, syarikat akan memastikan prestasi loji ini di tahap terbaik, malah akan turut memberi pendedahan yang bernilai kepada mereka dengan teknologi terkini ini.
“Pengalaman ini sudah pasti akan memberi inspirasi untuk mereka mendalami penyelesaian inovatif untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam loji jankuasa termal,” ujarnya.
Melalui penerimaan surat lantikan (LoA) dari NEPCS, Malakoff akan memanfaatkan kepakaran yang diperolehi selama puluhan dekad dalam O&M CCPP dengan menawarkan perkhidmatannya kepada tiga buah loji janakuasa di Bangladesh dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 1,500 megawatt (MW).
Kelas H adalah teknologi terkini dalam turbin gas dengan kemajuaan kejuruteraan yang begitu signifikan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan berupaya memenuhi keperluan penjanaan tenaga yang moden lagi fleksibel.
Perkongsian itu sejajar dengan tonggak perniagaan yang baru ditubuhkan iaitu Malakoff Energy yang berfungsi untuk memastikan bekalan tenaga yang boleh berdaya harap serta kos efektif melalui perkhidmatan pengurusan tenaga berkualiti, disamping menjaga aspek pemuliharaan dan keberkesanan tenaga.
Malakoff Energy merupakan salah satu daripada tiga tonggak perniagaan strategik Malakoff, bersama-sama dengan Malakoff Green Solutions dan Malakoff Environmental Solutions yang membentuk asas operasi Malakoff. – UTUSAN







