KAJANG: Polis membongkar kegiatan memproses dadah dan mengedar dadah dengan penahanan 13 individu termasuk ketua sindiket dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 26 April lalu.
Serbuan dijalankan oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di beberapa lokasi termasuk makmal haram dan stor selain merampas 312.7 kilogram pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 51 tahun dipercayai terlibat dalam sindiket memproses dan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu.
Menurut beliau, tangkapan itu juga melibatkan seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai dalang serta ahli kimia untuk memproses dadah.
“Siasatan mendapati dalang utama mempelajari cara memasak dadah secara dalam talian, manakala isterinya bersama empat wanita lain dipercayai berperanan menguruskan kewangan dan pemasaran dadah sindiket itu.
“Suspek yang lain turut mempunyai peranan masing-masing antaranya ‘runner’ (penghantar), pengedar, koordinator, penjaga stor dan sebagainya,” katanya yang turut memaklumkan sindiket ini turut menggunakan khidmat kurier untuk menghantar bekalan dadah dipesan pelanggan.
“Semakan rekod jenayah mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, serbuan pertama dijalankan terhadap sebuah kereta Honda City di Jalan Utama Cheras di sini dengan menahan lelaki berusia 25 tahun selain menemukan 1,200 bungkusan heroin seberat 2.44 kg.
Jelasnya, penahanan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres di Semenyih di sini dipercayai sebagai tempat memproses dadah dan menemukan pelbagai botol dan plastik berisi dadah seberat 25.53 kg.
“Siasatan mendapati kediaman terbabit disewa daripada seorang lelaki tempatan dengan kadar RM2,000 sebulan,” ujarnya.
Menurut Kok Chin, pihaknya turut menyerbu sebuah kondominium mewah di KL Sentral dekat sini dipercayai dijadikan sebagai stor menyimpan dadah.
Kata beliau, pelbagai dadah turut ditemukan antaranya syabu iaitu 26.25 kg, heroin (55.33 kg) dan 4.2 kg (ganja).
“Siasatan mendapati kondominium tersebut disewa daripada lelaki Indonesia dengan bayaran kira-kira RM3,200 sebulan.
“Kita turut menyita sebanyak 13 kenderaan, wang tunai bernilai RM213,000 serta 26 bentuk barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.08 juta. Rampasan dan sitaan keseluruhan membabitkan harta dan dadah berjumlah RM2.56 juta,” katanya.
Tambah Kok Chin, kesemua suspek direman selama enam hari bermula 27 April hingga 3 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam sindiket ini boleh digunakan oleh seramai 465,386 penagih dadah,” katanya. – UTUSAN










