KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini bakal menoktahkan ‘ketegangan’ yang wujud dalam kerjasama antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
Perwakilan dari 190 bahagian dari seluruh negara akan membahaskan kerjasama tersebut bermula pada perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sebelum diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada Ahad.
Keputusan UMNO itu nanti dilihat cukup penting selain demi perpaduan dan survival politik orang Melayu dalam ketiga-tiga parti itu dan rakyat umumnya, ia juga bakal memberi kesan kepada kestabilan politik negara.
Justeru, ramai yang menaruh harapan agar UMNO bijak membuat keputusan, malah lebih baik lagi jika ‘kekeruhan’ yang wujud dalam hubungan tiga parti Melayu itu ‘dijernihkan’ dengan ikatan ukhuwah yang kukuh.
Bagi Bersatu dan Pas, kedua-dua parti tiada masalah dan sentiasa bersedia meneruskan kerjasama, namun jika UMNO tetap dengan pendirian menolak kerjasama itu, maka mereka tiada pilihan selain terpaksa memetik ‘on’ suis pertembungan dalam PRU-15.
Walaupun perhimpunan Agung kali ini dijangka panas dengan kemungkinan wujud pertembungan ‘dua kem’ antara kalangan pemimpin dan bahagian yang mahu UMNO bekerjasama dengan Bersatu dengan kumpulan yang memuktamadkan tolak kerjasama itu, namun diharap perhimpunan kali ini menjadi medan perwakilan membahaskan nasib bangsa Melayu dan masa depan negara.
Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Perhimpunan Agung UMNO kali ini wajar menjadi medan perwakilan melontarkan idea-idea untuk parti terus memerintah dan bukannya menggugat perpaduan parti atau mencerca sesiapa sahaja.
Katanya, apa jua teguran dan saranan harus dalam semangat keutuhan parti dan bukannya hingga melebarkan kepuakan serta melemahkan perpaduan.
“Apa jua diputuskan perwakilan nanti, mestilah dihormati. Tiada individu, suara dan pengaruh lebih besar dan gah dari muafakat dan konsensus akar umbi parti. Disiplin dan tata kelola parti mesti diamalkan dan tersemat di hati,” katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, melihat kepada senario ketika ini, amat sukar UMNO bertanding sendirian untuk membentuk sebuah kerajaan seperti yang pernah berlaku sebelumnya.
Lebih memburukkan, kata beliau, sekiranya UMNO bertanding bersendirian di kawasan majoriti Melayu, akan berlaku satu pertembungan dahsyat antara parti-parti Melayu.
Malah katanya, jika bertanding di kawasan campuran pula yang mana jumlah besar pengundi bukan Melayu, mengikut kecenderungan sekarang ini mungkin lebih memihak kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus berlaku kekalahan.
“Jadi, dalam konteks penyatuan Melayu Islam yang menjadi teras kepada kestabilan politik Malaysia, sekiranya hasil PRU-15 adalah angka yang sama atau hampir sama dengan PRU-14, maka kestabilan politik tidak berlaku.
“Kita harus akui bahawa kestabilan politik Malaysia harus ada satu parti Melayu dominan yang menjadi teras dan parti-parti bukan Melayu sebagai sokongan bagi mengukuhkannya. Tetapi sekiranya berlaku perpecahan yang jelas di antara parti-parti Melayu, maka kestabilan politik tidak akan tercapai di Malaysia,” katanya dalam Webinar PINTAR 5: ‘Perhimpunan Agung UMNO 2020: Ke mana hala tuju UMNO?’ semalam. -UTUSAN










