WANITA dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Malah, ada segelintir wanita sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata ingin kelihatan cantik.
Ada wanita yang sangat obses dengan kecantikan sehingga sanggup membuat pembedahan kosmetik untuk memancungkan hidung, menaikkan kedua-dua belah pipi serta ada yang sanggup melakukan pembedahan kosmetik menegangkan kulit muka supaya kelihatan muda remaja.
Apa yang penting, semua aktiviti seperti ini tidak perlu lagi dilakukan di luar negara seperti Thailand atau Korea Selatan, sebaliknya perkhidmatan ini turut ditawarkan dalam negara.
Rawatan perubatan estetik kini popular dalam kalangan wanita yang tidak yakin dengan kecantikan asli diri sendiri.
Selain pembedahan kosmetik, ada kalangan wanita suka ‘merubah wajah’ menerusi teknik solekan tebal.
Dalam media sosial terutamanya TikTok, jurusolek artis atau yang dipanggil MUA wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Daripada muka biasa-biasa sahaja, dengan teknik solekan, mereka boleh merubah wajah persis artis popular seperti Aishwarya Rai, Sofea Jane, Ziana Zain, Emma Maembong dan juga tidak kurangnya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bercakap mengenai kecantikan ini, minggu ini saya ingin berkongsi kisah seorang wanita dari Blackburne, Lancashire, England, Daniell Hubbard yang terpaksa melalui episod mengerikan ketika membuat rawatan di sebuah salun kecantikan.
Menerusi laporan Mirror.co.uk, Hubbard dikatakan mencuba rawatan mewarna keningnya sebelum ia bertukar kejadian ngeri akibat alahan.
Warna kening menyebabkannya buta di hospital selepas pakar kecantikannya didakwa terlupa melakukan ujian alahan.
Hubbard berkata, dia juga tidak dapat menuntut ganti rugi kerana salun itu tidak mempunyai insurans.
Dia menempah untuk rawatan kecantikan pada harga £12 atau RM 71.59 sebelum percutiannya ke Malta dan berkata, dia tidak ditawarkan ujian alahan oleh pakar kecantikan.
Walaupun mukanya pada mulanya baik-baik saja, namun, mata kirinya membengkak secara besar-besaran pada keesokan harinya dengan mukanya merah dan meradang.
Pekerja sokongan itu berkata dia diberi steroid untuk merawat reaksi alahannya di Hospital Royal Blackburn serta mengambil steroid oral untuk dua minggu berikutnya apabila mukanya perlahan-lahan sembuh.
Dia kembali ke salun untuk mengadu dan mendapatkan bayaran balik tetapi pakar kecantikannya enggan melayan selain tidak menyesal dan tidak ada permintaan maaf.
Hubbard mendakwa salun itu cuba memintanya menandatangani perjanjian yang mengatakan dia menerima ujian alahan untuk mendapatkan kembali wangnya.
Wanita berusia 28 tahun dari Blackburn, Lancashire itu bagaimanapun enggan menandatanganinya dan menghubungi peguam cara untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedai tersebut.
Pengajaran daripada kisah ini adalah berpada-padalah membuat rawatan kecantikan kerana tidak semua akan berakhir dengan hasil yang baik.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










