PETALING JAYA: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Afendy muncul wakil ke-10 negara bagi menyertai Sukan Olimpik Paris sekali gus menjadi penampilan keempatnya di temasya terbesar dunia itu.
Majlis Olimpik Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Khairulnizam layak secara merit selepas menduduki tempat ketiga dalam acara Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki di Kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis.
Pencapaian itu menyaksikan, Khairulnizam bakal menemani seorang lagi pelayar negara yang telah pun layak ke Temasya Olimpik Paris iaitu Nur Shazrin Latif.
“Itu merupakan peluang terakhir untuk menempah slot ke Paris, beliau mengesahkan tempatnya selepas menduduki tempat ketiga di Last Chance Regatta 2024 di Hyeres, Perancis dalam acara Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki,” kata MOM.
Khairulnizam mengumpul 63 mata untuk meraih slot kelayakan berkenaan dan di sampingnya, turut melayakkan diri adalah juara Sukan Asia dari Korea Selatan, Ha Jee Min selepas terikat di kedudukan pertama bersama wakil Estonia, Karl Martin Rammo, 43 mata.
Untuk rekod, penampilan Khairulnizam di pentas Olimpik ini adalah yang keempat selepas membuat kemunculan sulungnya di London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Selain Khairulnizam, sembilan lagi atlet yang telah layak ke Olimpik Paris adalah Nur Shazrin (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), tiga pelumba trek berbasikal iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Diikuti Anriani Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun).-UTUSAN










