PETALING JAYA: Wakil tunggal penerjun negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises menjalani latihan di Singapura bagi meningkatkan darjah kesukaran terjun menjelang temasya terbesar dunia itu.
Penerjun berusia 19 tahun itu menjalani latihan di Singapura sebelum memulakan Kejohanan Terjun di Brisbane, Australia bagi merapikan persediaan beliau ke temasya empat tahun sekali itu.
Bagaimanapun, Bertrand mengakui beliau berasa sunyi tanpa ditemani rakan sepasukan terutamanya yang lebih senior iaitu Datuk Pandelela Rinong semasa latihan ini.
“Saya sekarang berlatih di Singapura dan selepas itu di Australia. Ada negara lain juga yang belum dimaklumkan oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS).
“Sepanjang saya berkelana di luar negara ini, saya tidak akan pulang ke tanah air sehingga Olimpik berakhir. Jadi ianya pengalaman yang amat bermakna dan juga sedih untuk saya kerana berseorangan.
“Sejujurnya saya memang gementar untuk ke Paris namun saya sentiasa menantikannya. Sukan Olimpik ini menjadi penampilan sulung saya dan jika nasib saya baik, saya mungkin akan berada di podium,” kata Rhodict.
Terdahulu, penerjun kelahiran Sarawak itu terpaksa mengorbankan beberapa siri Piala Dunia Terjun 2024 untuk meningkatkan darjah kesukaran terjunan beliau.
Dalam pada itu, pengarah teknikal terjun MAS, Bryan Nickson Lomas yakin keputusan menghantar Rhodict ke luar negara adalah tepat dan mampu mempersembahkan aksi yang baik menjelang Julai depan.
Bagaimanapun, destinasi penerjun itu tidak meletakkan negara China yang mana kuasa besar dalam sukan itu menjadi pangkalan beliau untuk menjalani latihan.
“Kami mempunyai beberapa pilihan di luar negara dan kami memilih yang berbaloi dan memberi faedah. Saya akui China mempunyai kemudahan yang lengkap namun negara lain mempunyai kualiti yang bagus juga,” katanya-UTUSAN










