Pahala ziarah raya hilang kerana celupar

Pahala ziarah raya hilang kerana celupar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA yang tidak trauma jika setiap kali raya asyik ‘diserang’ bertubi-tubi oleh makcik bawang
hanya kerana fizikal yang masih gemuk.

Paling menyakitkan hati apabila diri disamakan dengan wanita beranak enam kerana badan yang makin melebar tahun demi tahun dan penampilan kusam tidak menarik.

Manakala, yang bujang pula ‘disumpah’ jadi anak dara tua dan tidak akan dipinang, hanya disebabkan bersaiz XL ke atas.

Hinggakan, ada segelintir mangsa, memilih beraya sendirian di ibu kota dan tidak balik kampung gara-gara murung dengan hinaan diterima.

Jangan ingat gemuk sahaja yang jadi sasaran, kurus pun sama apabila dituduh berpenyakit atau merana akibat putus cinta.

Itu belum lagi masuk bab wajah, serba-serbi tidak kena di mata makcik bawang dan mahu ‘dihebohkan’ di depan orang ramai sebagai topik utama perbualan.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Arif Mohd. Kashim berkata,
keceluparan golongan berkenaan boleh merosakkan amalan ziarah di Aidilfitri.

Sedangkan, hari raya merupakan peluang terbaik mengukuhkan kembali persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, amalan ziarah membawa pahala tetapi ganjaran itu boleh hilang sekelip mata disebabkan perbuatan memburuk-burukan orang lain.

“Rugi apabila peluang bersua setahun sekali dirosakkan dengan perkara maksiat seperti menghina fizikal orang lain.

“Islam menegah perbuatan ghibah iaitu mengumpat, bergosip dan menyebarkan keburukan orang lain malah perbuatan sedemikian diumpamakan sebagai makan daging saudara sendiri,” katanya kepada Seri baru-baru ini

Golongan yang suka mengata orang ini, perlu takut kepada balasan Allah kerana dosa mengumpat adalah besar dan berat.

“Usah melihat keburukan atau aib orang sahaja kerana tidak mustahil perkara sama boleh berbalik kepada diri atau keluarga kita.

“Ingatlah, yang kita juga tidak sempurna dan jangan beri ruang untuk pihak lain pula memburukkan kita,” katanya.

TIADA SENSITIVITI, ANGGAP GURAUAN
Perbuatan menghina dan mengejek seseorang tercetus disebabkan si pelaku kurang atau tiada sensitiviti terhadap perasaan pihak lain.

Pakar Psikiatri dan Ahli Komiti Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Ahmad Rostam Md. Zin berkata, perkara itu lazimnya dianggap sebagai gurauan.

Namun, dalam keadaan masyarakat yang semakin self conscious, gurauan boleh dilihat sebagai kritikan mahupun hinaan.

“Perkara ini boleh berlaku di mana-mana situasi sosial dalam masyarakat, bukan sahaja ketika musim perayaan dan majlis keramaian, bahkan di tempat kerja, sekolah atau universiti.

“Puncanya adalah kerana wujud individu yang tidak atau kurang sensitif terhadap perasaan orang lain,” katanya.

Tegas Ahmad Rostam, tidak berbaloi untuk seseorang merosakkan suasana dan ikatan persaudaraan asbab mulut celupar.

Sebaliknya banyak lagi isu-isu lain boleh dijadikan topik perbincangan ketika pertemuan tanpa perlu menyentuh sensitiviti individu.

Ujarnya, individu yang suka mengeluarkan komentar jelik terhadap orang lain perlu sedar yang mereka juga tidak sempurna dan banyak kekurangan.

“Jaga kata-kata kita agar tidak menjadi bahan umpatan dan kebencian orang lain.

“Nilai diri seseorang tidak akan meningkat dengan cara menghina, bahkan ia tidak mempercepatkan perjalanan ke syurga,” katanya.

Beliau turut mengakui penghinaan berterusan boleh mengganggu kesihatan mental individu terutama kepada empat golongan.

Golongan itu ialah yang mempunyai isu keyakinan diri rendah, sangat sensitif dengan komentar orang lain, berisiko kesihatan mental dan sudah berhadapan dengan masalah regulasi emosi.

Sebagai persediaan menangkis serangan makcik bawang, mangsa perlu meningkatkan keyakinan diri di samping selesa dengan penampilan masing-masing.

“Mangsa tidak perlu cuba untuk impress sesiapa pun. Paling penting, mereka kena berani menyatakan rasa tidak selesa dipanggil itu atau ini dan sentiasa berada dengan individu yang menyokong,” katanya.

KAWAL DIRI, JAUHI GADUH
Di media sosial banyak dikongsikan tips berdepan dengan makcik bawang ketika lebaran termasuk membalas setiap kritikan dengan jawapan laser.

Bagi pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohamad Aziz Shah Mohamed Arip, kaedah itu bukan jalan penyelesaian terbaik untuk jangka panjang.

Ujarnya, tiada guna mangsa menengking, bergaduh atau sehingga mendakwa makcik bawang di mahkamah kerana penghinaan yang dilemparkan.

Hal itu kerana golongan makcik bawang kebiasaannya terdiri daripada ahli keluarga terdekat seperti ibu saudara atau sepupu mahupun jiran tetangga dan situasi tersebut hanya merenggangkan lagi jalinan silaturahim.

“Cuba kawal diri daripada marah, diam, senyum dan tukarkan emosi itu kepada benda yang baik.

“Contohnya, jika ditanya bila ingin berkahwin atau dapat anak, jawab dengan baik yang belum ada rezeki lagi dan kemudian minta makcik bawang doakan agar dipercepatkan jodoh atau hamil.

“Jika kita bersikap baik kepada orang, mungkin hati individu itu akan tersentuh,” katanya.

Namun, jika pembulian fizikal itu berterusan dan sukar ditanggung lagi, sebaiknya mangsa angkat kaki daripada situasi tersebut.

“Mangsa boleh bangun dan pergi ke dapur untuk jumpa orang lain, misalnya agar hati tidak terus
tercedera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×