Lelaki berdepan hukuman gantung miliki dadah 1.5 kg dadah - Utusan Malaysia

Lelaki berdepan hukuman gantung miliki dadah 1.5 kg dadah

SEBAGIAN daripada dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati setelah ditahan bersama lebih 1.5 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis, sekitar pukul 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, lelaki berusia 34 tahun itu dicekup bersama dadah bernilai RM111,358.40 menerusi dua rampasan berasingan.

Menurut beliau, pihak polis menahan suspek berhampiran stesen minyak di Kampung Gelugor Kedai dan menemui tiga paket plastik berisi serbuk ketulan kristal dan pil disyaki dadah jenis syabu dan yaba.

Jelasnya, suspek kemudian membawa sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah ke sebuah bilik yang disewanya di Kampung Paloh pada pukul 5 petang.

“Pemeriksaan lanjut di bilik sewa itu menjumpai beberapa lagi bungkusan paket plastik berisi serbuk ketulan kristal dan pil serta tiga botol berisi cecair dipercayai ubat batuk.

“Antara yang dirampas ialah pil yaba seberat 928.11 gram (g), syabu (593.21g), heroin (35.10g), erimin 5 (15.10g) serta 12 liter ubat batuk yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM 111,358.40.

“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM800 dan sebuah kereta jenis Proton Wira dianggarkan bernilai RM10,800 bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azli menjelaskan, siasatan lanjut terhadap suspek menunjukkan lelaki itu positif dadah methamphetamine selain sudah dijatuhkan hukuman sebanyak tiga kali atas jenayah berkaitan dadah sejak 2011.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

“Ini adalah kejayaan terbaharu BSJN Kuala Terengganu menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas merampas lebih empat kilogram dadah bernilai RM400,000, Selasa lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×