PORT DICKSON: Musim pendaratan penyu di pantai peranginan di sini bermula dengan penemuan kira-kira 159 biji telur penyu karah di Pantai Tanjung Gemok di sini awal pagi tadi.
Ranjer penyu yang juga Pengurus Pusat Pemuliharaan Penyu Glory Beach Resort, Hishamudin Abd. Manap berkata, dia menemukan telur haiwan dilindungi itu kira-kira pukul 1 pagi di pantai tersebut yang merupakan salah satu daripada pantai yang sering penyu bertelur di daerah ini.
“Ada empat pantai yang menjadi kesukaan penyu untuk bertelur iaitu Pantai Glory Beach Resort, Pantai Tanjung Gemok, Pantai Bagan Pinang dan Pantai Baru 1.
“Apabila mula musim penyu bertelur dari April hingga November, saya akan memantau pantai-pantai ini bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi untuk mengesan penyu mendarat serta telur. Bagi penemuan pertama untuk musim ini, dipercayai telur ini sudah berusia 10 hingga ke 15 hari,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Yang turut hadir bagi menyelamatkan telur penyu berkenaan ialah Pengurus Besar Glory Beach Resort, John Yeong.
Ujar Hishamudin lagi, kesemua telur penyu berkenaan akan di bawa ke Pusat Pemuliharaan Penyu Glory Beach Resort dan dijangka akan menetas dalam tempohdua bulan lagi.
Menurutnya, kebiasaannya, seekor ibu penyu akan naik sebanyak empat kali ke darat bagi bertelur dengan purata 160 biji buat kali pertama.
“Tahun lalu, kam berjaya menyelamatkan lebih 2,000 biji telur semasa musim penyu bertelur di pantai peranginan daerah ini,” katanya.-UTUSAN.









