PETALING JAYA: Galven Green meneruskan rentak cemerlang dalam Jelajah Toyota apabila menjuarai Piala Corolla Cross dalam aksi penentuan yang penuh dramatik di Glenmarie Golf and Country Club, di sini, hari ini.
Galven menewaskan Nicholas Fung dengan birdie pada aksi penentuan ‘sudden-death’ berlangsung di lubang ke-18 selepas kedua-dua pemain itu mengakhiri saingan keseluruhan 54 lubang dengan catatan 13 bawah par 203.
Galven melakar tiga bawah par 69 selepas mengumpul empat birdie dan satu bogey manakala Nicholas pula memperoleh lima birdie dan satu bogey untuk skor 68.
Pada saingan hari terakhir menyaksikan Galven bangkit pada saat terakhir untuk mengecewakan Nicholas yang tampak sudah berada di ambang kemenangan pada satu ketika selepas mendahului dengan dua pukulan berbaki tiga lubang.
Green menunjukkan kebolehan luar biasa dengan mengekalkan ketenangannya dan akhirnya mengungguli Fung dengan birdie pada lubang play-off pertama, sekali gus memberikannya keyakinan untuk mendepani kejohanan akan datang.
“Permulaan sembilan lubang pertama agak sukar untuk saya. Saya gagal melakukan pukulan dengan baik dan bergelut untuk memperoleh birdie, mujur saya dapat bangkit pada aksi terakhir,” kata Galven yang juga juara Trofi Tun Ahmad Sarji pada Februari lalu.
Kemenangan itu membolehkan Galven membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM31,500 sementara Nicholas berpuas hati dengan RM20,700.
Kategori wanita diungguli oleh Audrey Tan selepas merekodkan skor 76 untuk mengatasi dua pencabar terdekatnya, Tan Ying Ying dan Amalia Shahzan dengan dua pukulan.
Toyota Tour terus menjadi pentas bagi pemain-pemain golf terbaik Malaysia untuk mempamerkan bakat mereka dan bersaing dalam kejuaraan yang menarik minat peminat golf di seluruh negara.-UTUSAN











