PETALING JAYA: Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bersetuju meluluskan Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara sebagai salah satu tindakan intervensi bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan import.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dipertimbangkan dalam mesyuarat MPFN dan bersetuju meluluskannya sebagai satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa.
Katanya, pelan induk itu juga bertujuan meningkatkan kemandirian negara dalam aspek bekalan makanan untuk dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi di bawahnya dan pihak berkuasa negeri.
“Saya singgung pentingnya pengekalan dan pemeliharaan guna tanah kawasan sumber makanan negara serta mengadaptasi penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran bekalan makanan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat sama juga menimbang dan bersetuju terhadap Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar yang bertujuan memberi panduan dan rujukan kepada Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah dan pihak berkepentingan ingin memaju atau membangunkan semula kawasan penempatan terpinggir.
Selain itu katanya, garis panduan itu menjadi rujukan untuk memajukan kawasan usang dan tidak ekonomi untuk meningkatkan imej dan reka bentuk bandar.
“Pembaharuan semula bandar ini perlu mengambil kira kesenjangan berlaku terutamanya terkait aspek perumahan, pemuliharaan bangunan warisan bagi mengekalkan identiti kota serta memberi penekanan tentang pegangan hak milik bumiputera seperti diumumkan kerajaan bagi pembangunan di Sungai Besi dan Skim Perumahan Madani,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan terhadap usaha mempercepatkan proses pembangunan dan memudahcara perniagaan untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur.
“Justeru semua agensi, jabatan peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan disaran agar terus memberikan perhatian serius terhadap perkara ini kerana masih terdapat rungutan mengenai kecepatan proses kelulusan pembangunan di Malaysia masih ketinggalan berbanding jiran di rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN











