PETALING JAYA: JRG Minerals Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Shandong Huaxin Industry Co., Ltd. sebuah syarikat perdagangan dari China yang dianggarkan bernilai RM15 bilion.
MoU berkenaan menandakan kerjasama antara kedua pihak untuk melaksanakan Pembangunan Bercampur ke atas kawasan seluas 2,428 hektar iaitu Pembangunan Bandar Baru Bukit Goh, Kuantan, Pahang.
Pengerusi JRG Mineral, Tengku Datuk Abu Nirah berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama ini yang boleh menjana pelbagai peluang ekonomi untuk negeri Pahang dan kawasan Pantai Timur.
“Dengan kepakaran dan pengalaman serta kerjasama dengan syarikat bereputasi seperti Shandong Huaxin Industry, kami yakin projek ini mampu menjadi pemangkin untuk menyemarakkan pembangunan ekonomi di negara Pahang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Pengurus Besar Shandong Huaxin Industry, Liu Guodong berkata, projek pembangunan bercampur Bandar Baru Bukit Goh ini merupakan projek sulung kami di Malaysia.
“Kami yakin melalui kerjasama strategik dengan JRG Minerals kami dapat memberikan komitmen terbaik untuk perlaksanaan projek yang berpotensi besar ini,” katanya.
Kerjasama bagi Pembangunan Bercampur di Bandar Baru Bukit Goh ini merupakan peluang besar untuk membangunkan sebahagian besar tanah yang belum dimajukan atau diterokai yang berpotensi untuk menarik pelabur dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Antara pembangunan yang dirancang termasuk Ladang Solar, Bandar Auto, Bandar Elektrik, Bandar Sukan, Pasaraya Borong, Taman Tema Universal Studios, Konsep Eko Dusun dan Homestay Pahang. – UTUSAN










