Prestasi ringgit, bursa dijangka kembali mengukuh - Utusan Malaysia

Prestasi ringgit, bursa dijangka kembali mengukuh

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangkakan prestasi semasa ringgit dan bursa Malaysia akan kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan dolar AS kembali menurun seiring dengan mata wang lain.

Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan naik ke paras 4.7830/7880 berbanding dolar AS daripada 4.7760/7800 pada akhir Khamis lalu, sebelum ditutup pada 4.7770/7830.

Bursa Malaysia pula memulakan dagangan lebih tinggi apabila meningkat 1.81 mata kepada 1,573.29 daripada 1,571.48 semasa ditutup pada Khamis.

Bagaimanapun, pada dagangan tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.49 mata kepada 1,569.80 sebelum ditutup pada 1569.25 di akhir dagangan semalam.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, indeks matawang AS (DXY) menurun kepada 105 mata dari lebih 106 mata minggu lepas.

Jelas beliau, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut berikutan data mengenai sentimen pembuatan dan perkhidmatan AS yang merosot pada April.

“Saya menjangkakan ringgit akan mengukuh pada 4.74 hingga 4.775, manakala aliran bursa Malaysia pula berada pada paras 1,565 mata hingga 1,575 mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan AS, masing-masing jatuh pada Mac kepada 49.9 peratus daripada 51.9 peratus dan 50.9 peratus daripada 51.7 peratus, mencerminkan permintaan yang merosot di AS.

Aimi menambah, pengukuhan itu juga disebabkan tekanan ke atas harga minyak mentah pada AS$85 (RM404.74) setong dan perkembangan terbaharu di Timur Tengah, terutama krisis yang sudah tidak berpanjangan.

“Hasil atau bon 10 tahun AS juga turut menurun hari ini kepada 4.62 mata daripada 4.69 awal hari (semalam), menunjukkan tekanan ke atas matawang dolar AS tersebut berikutan kedua-dua faktor tadi.

“Selain itu, jangkaan kadar faedah masa depan oleh Rizab Persekutuan AS akan bergantung kepada laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awal AS bagi suku pertama dan data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada Mac lalu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut berpandangan sama bahawa prestasi bursa dan ringgit dilihat akan mula menunjukkan prestasi yang positif untuk minggu ini sehingga ke minggu hadapan.

Beliau berkata, ia disebabkan situasi geopolitik yang mula ke arah suasana yang lebih stabil.

“Perkara itu semestinya memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk kembali melihat potensi pelaburan selain di AS,” katanya.

Razman berkata, data ekonomi dari AS juga telah memberi tanda bahawa dollar AS tidak akan kekal kukuh dan mula menunjukkan penurunan berbanding mata wang dunia lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×