KULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan kompaun hampir RM600,000 berkaitan kesalahan merokok di premis makanan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Dr. Mohtar Pungut berkata, selain kepada perokok terbabit, pemilik premis turut dikompaun kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Sehingga Mac tahun ini, JKNJ telah mengeluarkan 3,835 notis kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM599,150 di seluruh Johor.
“Kompaun kepada perokok sebanyak RM250, manakala kompaun yang dikenakan kepada perokok bawah umur pula sebanyak RM50. Sementara itu, premis yang tidak memaparkan tanda larangan merokok dikompaun RM500,” katanya selepas mengetuai operasi di sekitar Kulai, di sini petang semalam.
Sambil mengakui tahap kesedaran dalam kalangan perokok berkaitan larangan itu masih rendah, beliau meminta kerjasama pemilik premis restoran untuk bersikap proaktif dan memberi peringatan kepada pelanggan mereka agar tidak merokok di kawasan berkenaan.
Mengulas tentang operasi berkenaan, lebih 60 premis makanan telah diperiksa oleh seramai 75 pegawai dan anggota jabatan berkenaan.
“Lapan premis telah diarahkan tutup serta-merta kerana tidak mematuhi standard kebersihan ditetapkan untuk beroperasi, manakala 87 notis berjumlah RM28,000 turut dikeluarkan.
“Sebanyak 50 daripada notis itu kerana tidak berpakaian sewajarnya seperti tidak berkasut dan tidak memakai apron ketika mengendalikan makanan, manakala selebihnya kerana pekerja tidak mempunyai suntikan typhoid, tidak menjalani kelas pengurusan makanan dan lain-lain,” jelasnya. – UTUSAN









