CYBERJAYA: Hab pembuatan sarung tangan, World Gloves City (WGC) akan dibangunkan di Kuantan, Pahang sekali gus bakal menjadi ekosistem lengkap untuk keseluruhan rantaian nilai produk itu di negara ini menjelang 2025.
Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal sarung tangan terbesar dunia, yang kini menyumbang 60 peratus daripada eksport global.
Bagi tujuan itu, World Gloves International Group City & Development Hub membuat pelaburan awal sebanyak RM100 juta untuk membina kilang pembuatan sarung tangan di WGC.
Pelaburan itu merangkumi pembentukan perkongsian utama untuk pembangunan WGC dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sebagai rakan teknologi untuk projek tersebut melalui perjanjian persefahaman (MoA) yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
Pada masa sama, WGC menandatangani perjanjian sewa dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) bagi membolehkan permulaan pembangunan fasa pertama WGC.
MoA antara MARii dan WGC ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif WGC, Datuk Gianluca Ernesti. Ia disaksikan Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong dan Pengerusi WGC, Tan Sri Syed Mohd Yusof.
Kontrak pajakan antara WGC dan PKNP ditandatangani Gianluca dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Mohd Zaid bin Harun.
Menurut Madani, usaha tersebut merupakan perkongsian awam-swasta untuk memulakan projek yang memberi manfaat kepada industri dan ekonomi Malaysia.
Katanya, WGC dijadualkan menjadi ekosistem lengkap untuk keseluruhan rantaian nilai sarung tangan dan produk PPE, merangkumi pengembangan sebuah kota digital dan pintar yang lengkap.
“Projek ini akan menyaksikan penggunaan teknologi canggih dalam pembuatan sarung tangan untuk memenuhi permintaan global di masa depan, dan juga melangkaui perdagangan pintar dan kehidupan pintar,” katanya selepas majlis menandatangani MoA itu, di sini hari ini.
Lebih separuh daripada kawasan WGC terdiri daripada taman perindustrian – dengan 750 kilang dilengkapi dengan bilik bersih, makmal kimia, pembungkusan dan pergudangan.
WGC akan menggunakan aplikasi pembuatan pintar, sistem pelaksanaan pembuatan, robotik pintar, simulasi kejuruteraan, analisis data besar dan sistem IoT sepanjang proses pembuatan.
Untuk menyokong pembuatan berskala besar, kota ini akan menempatkan kemudahan seperti lot kilang pembekal, pelabuhan, loji kuasa, pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D), institusi pendidikan dan latihan, pergudangan, kawasan perumahan dan kawasan rekreasi untuk memenuhi populasi 600,000 selepas ia dibangunkan sepenuhnya.
“Kerjasama ini membuka pintu untuk lebih banyak perniagaan dan kepakaran dalam bidang peralatan perubatan, dan memperluas aplikasi pembuatan pintar dan Industri 4.0 di sektor ini agar terus berdaya saing,” tambah Madani.
Selain taman perindustrian, WGC juga akan menampilkan pembangunan kediaman campuran, yang merangkumi perumahan dan kondominium untuk komuniti, pusat beli-belah, taman dan lapangan golf. – UTUSAN ONLINE










