KOTA BHARU: Suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April lalu.
Tertuduh, Hafizul Hawari, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad atas kesemua pertuduhan melibatkan kes senjata api, peluru, mercun, memiliki tiga MyKad individu lain dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada sebuah kereta.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, pengurus di syarikat agensi pelancongan didakwa memiliki senjata api jenis pistol bertulis Glock 19 Austria, Made In Turkey yang menyalahi undang-undang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru jenis PMC 380 Auto tanpa lesen sah. Dia dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, didakwa memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit, mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, didakwa memiliki tiga keping MyKad milik individu lain berusia 29, 34 dan 35 tahun yang boleh di hukum di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketujuh pula, didakwa memandu sebuah Honda Civic dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Semua kesalahan dilakukan tertuduh dalam kereta Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, kira-kira pukul 2 petang pada 15 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan memohon dia ditahan reman di Penjara Sungai Buloh kerana terlibat dalam kes lain di Selangor.
Tertuduh dalam rayuannya, memohon jaminan diberikan dan membuat panggilan telefon untuk lantikan peguam. – UTUSAN










