JOHOR BAHRU: Empat ahli sindiket ceti haram atau along termasuk seorang wanita yang mengandung tiga bulan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api bagi mengugut mangsa berlainan, Mac lalu.
Walau bagaimanapun, kesemua tertuduh, Abdul Halim Md. Nor, 31, Veeno Chiew Men Ying, 42, Nur Azman Hassan Ashari, 36, dan Liew Choon Kian, 44, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Abdul Halim, Men Ying yang sedang mengandung tiga bulan dan Nur Azman didakwa atas empat pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api terhadap kenderaan dan kediaman mangsa di sekitar bandar raya ini antara 10 hingga 27 Mac lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan lain, Abdul Halim dan Men Ying sekali lagi dituduh bersama-sama Choon Kian melakukan perbuatan khianat dengan api terhadap kediaman milik seorang mangsa pada 15 Mac lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari, manakala Abdul Halim, Men Ying dan Nur Azman diwakili peguam bela, Nur Zafirah Norizan dan Choon Kian pula diwakili Adrian Lu Chian Chern.
Che Wan Zaidi kemudian memberikan jaminan sebanyak RM14,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










