Haiza ponteng perhimpunan kerana tak cukup tidur - Utusan Malaysia

Haiza ponteng perhimpunan kerana tak cukup tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memulakan karier di usia muda adalah pencapaian terbaik buat individu bergelar penghibur. Ironinya, bukan sahaja mudah dikenali, malah perjalanan waktu panjang tersebut mampu merencanakan apa yang dihajati. Walau adakalanya sulit tetapi tidak sukar dilaksanakan.

Namun peluang keemasan itu tidak selalu hadir dan mampu dimiliki setiap insan. Umpama satu dalam seribu. Bila hadir gapailah dengan sebaiknya kerana silap percaturan pasti sia-sia dan tidak memberi sebarang makna.

Bagi penghibur jelita anak kelahiran Benut, Pontian ini personalitinya tidak perlu dipersoalkan lagi. Apa yang dilakukan jelas terbukti dan memperlihatkan hasil.

Bersama Mingguan Malaysia, figura cantik manis Rohaizah Nordin atau nama pentasnya Haiza, 41, berkongsi cerita kisah suka dukanya sepanjang bergelar anak seni.

“Saya mula menyanyi ketika dalam tingkatan satu lagi. Waktu itu menuntut di sekolah menengah Benut. Di mana ada pertandingan nyanyian saya akan masuk bertanding. Antaranya Pertandingan Bintang Remaja Utusan/RTM Johor.

“Tapi saya tak pernah menang pun. Nombor pun tak pernah dapat. Hendak jadikan cerita pada suatu hari penyampai radio Johor, Ismail Ibrahim hubungi saya. Dia tanya minat tak untuk jadi artis dan buat album. Saya jawab tak minat. Sebab saya menyanyi hanya untuk suka-suka dan bukannya nak jadi artis,” katanya membuka bicara

Setelah diberi penerangan terperinci dia akhirnya bersetuju. Ditemani ibunya, Haiza menjalani ujibakat di studio di Johor Bahru. Lagu Di Sebalik Sejuta Wajah dendangan Shima dijadikan pertaruhan.

Sebagai seorang yang sekadar mampu menyanyi tanpa mahir selok belok dan teknik nyanyian dia sedar peluangnya amat tipis untuk memikat hati juri. Komposer terkenal Roslan Mamat dan penulis lirik Man Toba memberi peluang kedua kepadanya. Kali ini lagu Rindu nyanyian Amelina dijadikan sandaran.

“Membawakan lagu dangdut tidak memberi masalah buat saya kerana di kampung saya kerap mengadakan persembahan di majlis kenduri kahwin bersama kumpulan The Queen Bee.

“Saya juga sudah mampu mencari duit poket sendiri. Biasanya saya akan dibayar RM100 dalam setiap dua atau tiga kali persembahan,” katanya.

Sekali lagi dia diminta menjalani uji bakat di Kuala Lumpur. Waktu itu beberapa orang wakil dari syarikat rakaman hadir melihat persembahannya. Ketika itu barulah dia tahu syarikat rakaman tersebut ingin mencari penyanyi dangdut.

Persembahan dan kualiti nyanyian yang dipamerkan berjaya menambat hati juri. Selanjutnya dia di terima menjadi artis rakaman di bawah label Polygram.

Pihak label memberitahu dia terpaksa menjalani proses rakaman secepat mungkin kerana irama dangdut ketika itu cukup diminati . Namun yang menjadi dilemanya ketika itu ialah peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang semakin hampir.

“Sebaik tamat persekolahan tengah hari itu saya terus ke Kuala Lumpur. Hanya sempat salin pakaian. Kasut sekolah pun tak sempat tukar. Sampai sahaja di studio terus rakam lagu dan shooting untuk video klip.

“Pengetua di sekolah saya waktu itu cukup memahami. Sebaik sahaja habis duduki PMR, dia berikan saya cuti seminggu buat promosi album. Memang jadual cukup padat waktu itu sehinggakan saya terpaksa buat keputusan untuk tinggal di rumah kakak dan tukar sekolah di Kuala Lumpur,” katanya.

Berhijrah ke kota besar bukanlah sesuatu yang mudah. Perlukan ketahanan mental dan fizikal. Lebih-lebih lagi setelah bergelar artis. Selain kejutan budaya, dia tidak menafikan pengaruh rakan sekeliling juga mencorakkan sebahagian hidupnya ketika itu.

Namun dia bersyukur kerana ahli keluarga masih menjadi rujukan utama buatnya sebelum melakukan sebarang perkara.
Kerjaya nyanyian merubah kehidupannya. Penat lelahnya membuahkan hasil. Selain mengecapi kegemilangan, dia sudah memperoleh apa yang dihajati.

“Ketika menuntut di tingkatan lima, saya ambil keputusan pindah semula ke sekolah lama di Benut. Bagaimanapun rutin saya setiap hujung minggu masih sibuk dengan show. Kebiasaannya Ahad malam atau Isnin pagi barulah saya sampai ke rumah dan terus ke sekolah.

“Biasanya setiap pagi Isnin ada perhimpunan di sekolah, tapi disebabkan mengantuk dan tak cukup tidur selalulah saya ponteng dan tidur di bilik persalinan jasmani. Jadi, kawan-kawanlah yang banyak cover line waktu itu. Sebagai balasannya saya akan belikan mereka hadiah seperti minyak wangi, teddy bear dan macam-macam lagi. Ini kira macam hadiah rasuahlah,” katanya ketawa.

Bakat terpendam

Bakat haiza tidak tamat di situ sahaja. Bermula 1997 dia sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan apabila sering dijemput oleh rakan artis, Jaafar Onn untuk bersamanya dalam mengendalikan acara pentas di majlis-majlis keraian.

Bermula dengan program Muzik TV yang dihoskan bersama Azza pada tahun 2000, dia seterusnya ditawarkan menjadi juruhebah jemputan untuk KLFM yang bersiaran sebanyak tiga kali seminggu sebelum dilamar stesen penyiaran Best FM di Johor.

Namun kerjaya itu hanya mampu bertahan setahun sahaja kerana komitmen yang tinggi, apatah lagi bila terpaksa berulang alik setiap hujung minggu memandangkan keluarganya masih menetap di Kuala Lumpur .

“Sebaik habis menyertai sebuah pertandingan realiti TV, saya ditawarkan menjadi juruhebah untuk sebuah stesen radio terkenal, Kool FM.

“Kali ini saya terpaksa membahagikan masa sebaiknya kerana setiap pagi pukul 6 saya perlu masuk konti. Ada ketikanya bila dapat show di luar Kuala Lumpur pada hari bekerja saya langsung tak sempat balik ke rumah. Biasanya saya dah standby bawa baju dan tidur di hotel berdekatan tempat kerja. Kalau lewat sangat saya tidur dalam kereta. Janji dapat rehat sekejap.

“Majikan faham dengan komitmen saya. Dia tak pernah halang. Cukup jika saya mampu uruskan waktu dengan baik. Buatlah macam mana pun, janji setiap 6 pagi Isnin hingga Jumaat suara saya ada di corong radio,” katanya ketawa.

Akui melakukan dua kerja dalam satu waktu adakalanya cukup memenatkan. Dia pernah mendapatkan rawatan doktor gara-gara keletihan melampau. Pengalaman itu membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menentukan jadual kerjayanya.

“Saya seperti diserang anxiety apabila tiba-tiba didatangi rasa takut, degupan jantung laju, sesak nafas serta kepenatan melampau. Berat badan juga susut mendadak. Rakan setugas, AG memang banyak membantu terutama dalam mengendalikan konti jika saya kurang sihat ketika itu.

“Alhamdullillah, setelah menjalani rawatan doktor dan perubatan tradisional, kekuatan dan keyakinan beransur pulih. Kini saya perlu membina fasa kekuatan untuk meneruskan kerjaya seperti dahulu.

“Terkini saya sedang sibuk mempromosikan single terbaru berjudul, Mantan Isterimu karya komposer Ajai dan lirik Iman Imran. Lagu ini sudah mula dipertontonkan di platform digital sejak 22 Februari lalu.

“Saya rasa cukup gembira kerana dapat menghadiahkan material terbaharu buat peminat setelah hampir dua tahun menyepikan diri,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×