Liga M boleh tajamkan kembali Luqman Hakim

Liga M boleh tajamkan kembali Luqman Hakim

Luqman Hakim Shamsudin merupakan produk pertama AMD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada memberi sebarang impak, itu yang boleh dikatakan tentang penampilan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin di pentas Piala Asia bawah 23 (B-23) yang sedang berlangsung di Doha, Qatar ketika ini.

Penilaian berdasarkan dua perlawanan awal skuad B-23 ketika tewas 0-2 kepada Uzbekistan dan Vietnam, Luqman dilihat tidak menyerlah dan gagal untuk menggunakan pengalamannya beraksi di luar negara sejak beberapa musim lalu.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Luqman beraksi jauh pada prestasi sebenar seperti namanya ‘meletup’ pada satu ketika dahulu dan beliau juga seolah-olah seperti hilang punca.

“Sebab itu saya kata Luqman sekarang tidak sampai tahap yang kita mahukan, apa yang boleh kita banggakan. Sepatutnya, pengalaman beraksi di Belgium, Iceland dan kini di Jepun digunakan sebaik mungkin, dia mungkin ada kelebihan berbanding pemain lain.

“Tetapi, kalau macam itu cara dia bermain, lebih baik dia balik Malaysia sahaja. Tidak menampakkan sebarang keistimewaan, atau mungkin juga sebab dia bukan regular atau pemain pilihan di kelab luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Pekan, jika boleh diberikan penilaian prestasi Luqman ketika Malaysia tumpas kepada Uzbekistan dan Vietnam, hanya sekitar lima daripada sepuluh sahaja boleh diberikan kepada pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Difahamkan, prestasi Luqman tidak menentu kerana gagal mendapat minit permainan yang diharapkan bersama kelab-kelab yang pernah diwakilinya selepas kerap kali hanya memanaskan bangku simpanan atau sekadar beraksi dengan skuad muda.

Luqman sebelum ini pernah menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ketika bersama skuad Bawah 16 tahun dalam Kejuaraan AFC B-16 2018 apabila dia muncul penjaring terbanyak kejohanan itu.

Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu kemudian menyertai pasukan Selangor sebelum berhijrah ke Eropah bersama kelab Belgium, KV Kortrijk pada 2020.

Bagaimanapun, nama Luqman dilihat semakin tenggelam kerana kurang mendapat peluang beraksi sebelum dia seterusnya menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman.

Terbaharu, penyerang berusia 22 tahun itu berkelana ke negara Matahari Terbit bersama kelab divisyen 3, YSCC Yokohama dengan status pinjaman daripada kelab KV Kortrijk sehingga penghujung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×