PETALING JAYA: Trajektori atau laluan lengkungan helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa melakukan latihan penerbangan kemudian bertembung di ruang udara Stadium TLDM di Lumut, Perak, semalam antara aspek yang harus diteliti bagi mengenal pasti punca nahas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Unit Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr. Mohd. Harridon Suffian berkata, adalah penting untuk pesawat diterbangkan dengan kiraan trajektori yang betul khususnya jika dua pesawat berada pada jarak dekat.
Selain itu, katanya, antara sudut lain harus dipertimbangkan ialah kiraan masa pesawat berlepas dengan kiraan sudut yang betul bagi mengelak nahas berlaku.
Agak sukar untuk membuat hipotesis awal dan saya tidak mahu mengulas berhubung punca nahas sebenar. Lebih baik kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara mendalam.
“Namun, mengikut pengalaman, aspek-aspek ini harus diteliti bagi memudahkan kita memahami situasi yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, aspek teknikal juga perlu diperhati sekiranya terdapat sistem kawalan dalam pesawat berkenaan secara tiba-tiba ‘membeku’ dalam keadaan tertentu.
“Kena tengok daripada buku log pesawat, apakah ada sejarah tersendiri? Adakah terdapat sistem kawalan tidak berfungsi dan lihat juga pada serpihan pesawat.
“Biasanya latihan berjam-jam di darat dilakukan sebelum menjalankan formasi penerbangan. Berapa nilai altitudnya dan lain-lain?” katanya.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan 10 mangsa terkorban dalam kejadian dua helikopter milik TLDM bertembung di Stadium TLDM Lumpur, Manjung, Perak.
Menurut laporan Komander Operasi Kanan, Suhaimy Mohd. Suhail, pasukan bomba dari dua balai berhampiran iaitu Seri Manjung dan Sitiawan digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja dihubungi.
Kedua-dua helikopter bertembung ketika sedang melakukan latihan penerbangan. Kesemua 10 mangsa terlibat disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, penganalisis pertahanan dan keselamatan, Zaki Salleh berkata, berdasarkan pemerhatian menerusi klip video nahas pesawat itu, terdapat kemungkinan berlaku kesilapan juruterbang semasa membelok di udara sehingga terkena bilah kipas helikopter.
“Saya percaya juruterbang terlibat adalah berpengalaman dalam mengendalikan pesawat, cuma bercakap soal nahas, ia adalah subjektif dan kejadiannya sukar dijangka. Bila-bila masa boleh berlaku.
“Saya juga percaya TLDM sudah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang betul, cuma mungkin disebabkan jarak yang terlalu rapat dan beberapa faktor lain menyebabkan keadaan ini berlaku,” katanya. – UTUSAN










