SIK: Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun menunjukkan sikap peliknya apabila beria mengajak adik-beradiknya bergambar pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dengan alasan takut ‘seorang akan hilang dahulu’.
Noryani Tamadun, 50, berkata, arwah yang berusia 36 tahun dan anak bongsu daripada empat beradik manakala semasa ajakan bergambar itu seorang adik-beradik kami belum sampai ke kampung.
“Arwah ada sebut untuk ambil gambar kami bertiga dulu kerana dia kata takut seorang hilang, maka kakak balik nanti akan ganti,” cerita Noryani kakak sulung kepada Faisol.
Menurut wanita itu, dia terpinga-pinga ketika mendengar ungkapan adik bongsunya itu pada 1 Syawal yang pulang berhari raya bersama isteri dan dua anaknya.
Oleh itu, katanya, dia kini memahami maksud sebenar adiknya itu setelah mendapat berita pemergian arwah yang merupakan salah seorang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, pagi semalam.
“Kami empat beradik dan arwah paling bongsu, pagi raya itu seorang lagi adik perempuan saya belum sampai dari Lipis, Pahang sebab itu dia ajak kami bertiga dahulu bergambar.
“Dia kata mungkin ini gambar terakhir kami, dia peluk saya pun kata ini pelukan terakhir. Saya kata jangan buat sedih sangat nanti akan jumpa lagi tapi saya tetap rasa pelik kenapa dia cakap seorang akan hilang, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa terakhir dah ini,” katanya ketika ditemui.
Muhammad Faisol adalah antara seramai 10 orang dilaporkan maut dalam nahas dua buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini. Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di situ dilaporkan sedang menjalani raptai sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Muhammad Faisol yang merupakan Kru Udara Skuadron 503 antara yang berada dalam helikopter HOM-AW139 yang terlibat pertunjukkan sempena Sambutan HUT TLDM ke-90 awal bulan depan. – UTUSAN










