
Bukan nak katalah. Tapi kalau sebut pasal artis yang ke sana ke mari mengangkut keluarga bersama setiap kali membabitkan urusan kerja ini, Cik Bunga ada dua perkara saja nak sebut.
Satunya, Ya. Adakalanya memang memudahkan seseorang artis itu kerana ahli keluarga mereka lebih kenal dan tahu apa kemahuannya selain boleh mengelak fitnah melulu yang biasa berlaku dalam industri hiburan ini.
Itu tak apa lagi. Cik Bunga paling bimbang faktor kedua, iaitu lebih banyak menyusahkan daripada menyenangkan. Ini biasa terjadi jika lebih-lebih lagi yang bertindak sebagai pengurus artis itu ialah ibu atau ayahnya.
Cik bunga percaya, kalangan teman media lain amat memahami situasi ini bila mana si ayah atau ibu artis itu dilihat melebih-lebih berbanding anaknya. Umpama lebih sudu daripada kuah, ha, begitulah.
Paling Cik Bunga kurang gemar, kalau waktu sesi temu bual, mak ayahnya pun sama sibuk nak menjawab soalan itu juga. Apa hal ya? Sebab Cik Bunga pasti si anaknya boleh menjawab sendiri soalan itu.
Kita tak nafikan yang ada sahaja mak ayah artis ini yang sporting, yang profesional. Tapi boleh kira dengan jarilah berapa kerat sangat yang faham kerja ini.
Jadi, Cik Bunga harap dah boleh kot kurang-kurangkan sikit sikap begitu kalau betul nak ajar anak supaya pandai berkomunikasi dengan pihak media. Relakslah sikit.
Kalau tak, baik makcik atau pakcik saja yang jadi artis.










