MELAKA: Segala keputusan membabitkan lencongkan jalan bagi pelaksanaan zon bebas kenderaan di Banda Hilir di sini telah dibawa dalam mesyuarat terlebih dahulu sebelum dikuatkuasakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif tersebut tidak dilakukan secara semberono, sebaliknya pelbagai aspek diteliti bagi memudahkan akses pengunjung ke kawasan tumpuan pelancong.
Kata beliau, pada masa sama pengurangan kenderaan di sekitar Bangunan Merah juga dapat menyelamatkan monumen bersejarah itu daripada kerosakan.
“Keputusan (lencongan jalan) itu telah dibincangkan dalam mesyuarat untuk mempermudahkan laluan pengunjung ke Bandaraya Melaka, Jonker Walk, Lorong Hang Jebat, Kota Laksamana, Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan.
“Tujuan kita bukan suka-suka tetapi untuk melindungi Bangunan Merah yang kini dalam keadaan tertekan seperti berlaku keretakan. Kalau bangunan ini roboh maka tidak akan ada lagi peninggalan sejarah di Melaka,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee membangkitkan tiga persoalan terhadap keberkesanan dan mekanisme pelaksanaan zon itu sejak Ogos 2023 yang membawa kepada penutupan beberapa jalan.
Antara perkara yang dibangkitkan adalah pelaksanaan zon tersebut tidak dirancang dengan teliti, notis pertukaran arah jalan terlalu singkat dan MBMB didakwa tidak mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan dan pemegang taruh.
Tambah Shadan, pihaknya banyak menerima maklum balas positif daripada penjaja dan peniaga sepanjang pelaksanaan zon itu kerana membantu menambah pendapatan mereka.










