KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu mencari ruang untuk menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan program yang telah dirancang di Terengganu dapat dilaksanakan.
Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) berkata, kerajaan Terengganu juga diharap terus serius dan fokus dalam melaksanakan rancangan dan program yang ditetapkan melalui semua portfolio Exco di negeri itu meskipun berdepan kekangan kewangan.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu memanfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi pelaksanaan program dan projek daripada kementerian-kementerian berkaitan.
“Fokuskan bajet untuk menyantuni rintihan dan keperluan mendesak rakyat. Kurangkan perbelanjaan yang berbentuk kosmetik dan sedap pada halwa telinga tapi hakikatnya rakyat marhaen tak dapat apa-apa.
“Utamakan projek dan program berbentuk ‘low hanging fruits’ yang menggunakan bajet rendah tapi hasil cepat dinikmati.
“Kenalpasti di mana rakyat kita berada. Jangan berfikir secara awangan. Pastikan setiap penyaluran program sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida Md. Noor (Pas-Ladang) pula berharap Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu atau New Income Terengganu (NIT) mesti dijayakan segera untuk meningkatkan pendapatan baharu Terengganu.
Menurutnya, Pelan NIT mesti dijalankan dengan lebih agresif dari pihak kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan baharu Terengganu dengan sasaran lapan hingga 10 peratus pada tahun ini.
“NIT yang dipersetujui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) pada Januari lepas adalah langkah tepat dalam usaha pemulihan kewangan negeri selain mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri terhadap bayaran royalti petroleum.
“Apatah lagi permintaan terhadap minyak dijangka akan menurun sekitar 25 peratus menjelang tahun 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
“Pelaksanaan NIT yang terancang akan memberi dorongan yang signifikan dalam pemulihan kewangan negeri sekali gus membolehkan kerajaan mencapai peningkatan ekonomi dengan sokongan penuh dari pelbagai agensi serta kerjasama semua pihak,” katanya. – UTUSAN











