Pelajar panjat bumbung asrama kerana mahu berhenti tahfiz 

Pelajar panjat bumbung asrama kerana mahu berhenti tahfiz 

ANGGOTA bomba cuba memujuk pelajar perempuan berusia 11 tahun yang memanjat bumbung asrama sebuah pusat tahfiz di Taman Sentosa, Kampar. - UTUSAN/FOTO JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun memanjat bumbung asrama sebuah pusat tahfiz di Taman Sentosa di sini bukan sebagai percubaan untuk membunuh diri sebaliknya dia tidak ingin meneruskan pengajian di institusi itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, hasil siasatan mendapati pelajar itu melakukan perbuatan sedemikian sebagai tanda protes tidak ingin belajar lagi di pusat tahfiz tersebut.

“Polis telah melawat tempat kejadian dan hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur cubaan untuk bunuh diri.

“Pelajar berkenaan melakukan perkara demikian kerana tidak mahu belajar di pusat tahfiz. Kanak-kanak perempuan ini juga merupakan pelajar bermasalah kerana ketagihan gajet,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.35 pagi tadi yang memaklumkan tindakan pelajar perempuan itu yang memanjat bumbung asrama sebuah pusat tahfiz di sini.

Pihak bomba dan polis berjaya memujuk pelajar itu untuk turun dengan selamat.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri berkata, ibu bapa pelajar berkenaan memaklumkan itu merupakan kejadian ketiga dengan situasi sama.

“Ibu bapa telah hadir dan membawa pulang pelajar berkenaan serta ingin menamatkan persekolahannya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×