PUTRAJAYA: Operasi khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membanteras 121 kes berkaitan jenayah sempadan perairan negara melibatkan nilai rampasan hampir RM9 juta.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi dikenali Op Khas Pagar Laut yang dilancarkan sejak 18 Mac lalu itu melibatkan pelbagai kesalahan aktiviti jenayah rentas sempadan terutama kes pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta penyeludupan barang-barang-kawalan.
Menurut beliau, bagi fasa ketiga yang berakhir 16 April lalu, sebanyak 55 tangkapan melibatkan 69 kes pelbagai kesalahan berjaya dibanteras.
“Ia melibatkan 37 kes dibawah Akta Perikanan 1985; masing-masing tiga kes bagi Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 dan sembilan kes bagi Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu sebanyak tujuh kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952; lapan kes Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, serta masing-masing satu kes di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Padi Beras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saiful Lizan berkata, operasi berkenaan diteruskan bagi fasa empat iaitu dari 17 sehingga 30 April ini dengan mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik panas seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri.
Katanya, tindakan penguatkuasaan ini menumpukan kepada semua aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Maritim Malaysia tidak akan ‘mengendurkan’ kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.
“Ia supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN









