Makin jarang berkongsi aktiviti dalam laman sosial, sehingga ada yang kata Aiman menghilangkan diri, betul ke?
Saya ada sahaja dalam industri, cuma memang agak jarang mengemas kini laman sosial. Ikutkan dalam tempoh sekarang saya juga agak sibuk dengan aktiviti seni. Saya juga sudah menyiapkan dua single yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Apa yang membuatkan saya gembira kini apabila turut berlakon. Kali pertama memilih untuk berada dalam drama bersiri, saya akui walaupun komitmen waktu itu lebih banyak, tetapi sangat gembira dan berbaloi.
Baru sahaja terbit satu kontroversi mengenai Aiman dan keluarga baru-baru ini. Boleh jelaskan keadaan dengan keluarga sekarang?
Sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku antara saya dan keluarga. Apa yang membuatkan perkara ini jadi besar bila ada orang lain membawa cerita tidak betul mengenai diri saya. Cukuplah saya katakan yang kami kini tidak mempunyai apa-apa masalah pun malah sejak kisah ini tular hubungan masih seperti biasa. Hanya salah faham yang dimulakan oleh seseorang sehingga menyebabkan perkara ini menjadi perhatian.

Turut digelar anak derhaka oleh warganet, Aiman marah?
Buat apa nak marah, terpulang kepada merekalah. Bagi saya mereka tidak berada dalam situasi dan langsung tidak memahami apa yang berlaku. Lebih senang cakap mereka hanya orang luar. Jadi perkara ini tidak menjadi sebab untuk saya berasa kecewa atau marah.
Ada yang kaitkan tinggal jauh bersama keluarga menjadi sebab, Aiman setuju?
Sebagai seorang penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan yang mempunyai kehidupan di Kuala Lumpur saya akui ini adalah yang paling memudahkan. Bukan soal mahu tinggal berjauhan daripada keluarga atau selesa tinggal sendiri.
Sebab kalau mahu berulang alik ke Kuala Kubu Bharu setiap hari bagi saya perkara itu agak mustahil dalam tempoh sekarang. Tetapi tidak menjadi masalah pun tinggal berjauhan sebab atas tuntutan kerja. Tiada isu pun.
Selain itu ada juga yang kaitkan dengan cinta, boleh kongsi?
Tidak mahu kongsi apa-apa lagi soal ini. Apa yang keluar sebelum ini tidak menggambarkan apa yang terjadi. Soal apa terjadi sebelum ini kononnya putus cinta dan sebagainya itu, sebenarnya kami tidak ada apa-apa pun. Tetapi tidak perlu saya kongsi lebih lanjut bagi mengelakkan lebih banyak salah faham. Saya sudah berpunya atau tidak sekarang juga tidak penting.
Ikutkan saya selesa menjalani kehidupan tanpa cinta. Senang cerita mahu fokus kepada kerjaya dan perniagaan sahaja. Noktah.

Pengajaran terbesar Aiman melalui apa yang berlaku ini.
Bukanlah semuanya negatif, ada bahagian positif yang perlu diambil juga. Bagi saya apa yang berlaku ini sedikit sebanyak memberi ruang untuk orang kembali mengingati saya.
Tetapi perkara penting yang saya belajar adalah untuk tidak terlalu mempercayai orang sepenuhnya. Sebab kita tidak tahu hati orang macam mana. Di hadapan kita mungkin sikapnya nampak baik tetapi di belakang ada sisi yang kita sendiri tidak tahu.
Selain itu, apa yang dilalui ini juga tidaklah seteruk mana sebenarnya.
Mungkin sebab saya seorang selebriti perkara ini diangkat sehingga menjadi besar. Selagi namanya manusia kita akan berhadapan dengan cabaran tetapi yang paling penting bagaimana untuk mengatasinya secara bijak.









