PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengambil masa selama dua jam sebelum berjaya menahan 40 nelayan Vietnam yang menaiki tiga buat bot selepas menceroboh dan mencuri hasil laut negara pada Selasa lalu.
Kesemua nelayan itu ditahan pada jarak 229.6 kilometer (km) dan 250 km dari Kuala Tok Bali menerusi Ops Pagar Laut Fasal 4.
Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, semasa melakukan rondaan rutin sekitar pukul 3.39 hingga 5.47 petang anggota bertugas telah mengesan tiga buat bot dalam keadaan mencurigakan di perairan negara.
Menurutnya, anggota Maritim Kelantan terus bertindak mengejar ketiga-tiga bot berkenaan dan berjaya menahan selepas dua jam kemudian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot pertama mempunyai lima awak-awak termasuk tekong. Bot kedua pula, kita telah menjumpai 15 awak-awak termasuk tekong.
“Sementara bot ketiga pula, kita berjaya menahan 20 awak-awak termasuk tekong. Kesemua mereka yang ditahan itu masing-masing berusia antara 18 hingga 62 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.
Erwan Shah memberitahu, pemeriksaan lanjut yang dilakukan membawa kepada penemuan 8,700 kilogram (kg) hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,900 liter dan nilai rampasan kesemua barangan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM5.4 juta.-UTUSAN









