Jurutera bertugas di kem tentera didakwa menipu - Utusan Malaysia

Jurutera bertugas di kem tentera didakwa menipu

PEGAWAI SPRM membawa Fadziyani Mohamed yang berdepan pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan yuran latihan di sebuah kem tentera sebanyak RM19,950, enam tahun lepas.

Tertuduh, Fadziyani Mohamed, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, Fadziyani yang juga Ketua Unit Tentera JKR Kedah yang berkhidmat di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani bersubahat dengan seorang pengurus syarikat untuk memperdaya seorang pembantu akaun Jabatan Akauntan Negara Kedah pada 31 Mei 2018.

Tertuduh memperdaya lelaki berkenaan bagi meluluskan yuran perkhidmatan Kursus Latihan Kakitangan Kursus Pemasangan Penyaman Udara di kem berkenaan bernilai RM19,950 kepada Syarikat Genius Intellect Services Sdn. Bhd.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan juga perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Terdahulu, Fadziyani yang diwakili peguam Nor Azam Majid memohon jaminan yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan sebanyak RM30,000 dikurangkan kerana tertuduh yang juga seorang balu mempunyai tanggungan kewangan banyak selain gaji bulanannya sebanyak RM7,000 dipotong separuh.

Fadziyani yang dipindahkan ke JKR Kuala Lumpur turut mencelah dengan merayu hakim mengurangkan wang jaminan itu memandangkan dia tidak mempunyai wang simpanan.

Dia yang ditangkap pada 21 April 2019 membayar wang jaminan tersebut dengan peguamnya bertindak sebagai penjamin. Hakim menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×