Proses naik taraf stadium Majlis Perbandaran Temerloh siap sebelum 3 Mei - Utusan Malaysia

Proses naik taraf stadium Majlis Perbandaran Temerloh siap sebelum 3 Mei

FADZLI Mohamad Kamal (belakang) melayani tetamu yang hadir pada majlis jamuan hari raya Aidilfitri di padang awam Felda Lembah Klau di Raub, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Proses menaik taraf stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang dipilih sebagai venue utama saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini membabitkan skuad Sri Pahang FC dijangka siap sepenuhnya sebelum 3 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, stadium MPT dipilih bagi menggantikan Stadium Darul Makmur yang sedang dibaiki dan diselenggara padang bagi mengekalkan ikon bandar Kuantan.

Menurutnya, Stadium Darul Makmur yang berusia lebih 50 tahun perlu dibaik pulih dengan kemudahan terkini dan moden selari peranannya sebagai venue bola sepak, olah raga dan perhimpunan khas di negeri ini.

“Pemilihan Stadium Temerloh dalam Liga Super 2024 menepati kriteria diperlukan seperti kelulusan peratus pencahayaan, padang dan kemudahan sokongan.

“Walaupun kapasiti penonton sekitar 9,283 orang tetapi dijangka mampu menyediakan tempat yang selesa kepada penonton, peminat tegar bola sepak dari Temerloh dan daerah sekitar,” katanya pada ketika ditemui majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong di Felda Lembah Klau di sini.

Menurut Fadzli, bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi sudah mencapai lebih 93 peratus manakala tahap padang berada pada tahap lebih 95 peratus.

Menurutnya, MPT sudah membelanjakan lebih RM150,000 untuk menaik taraf stadium itu yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang dalam Liga M musim ini.

“Tahap pencahayaan lampu limpah mencapai 100 peratus seperti yang ditetapkan mengikut standard oleh Liga Bola Sepak Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong mengajak peminat bola sepak memenuhi stadium MPT sebagai sokongan kepada skuad Tok Gajah.

Ditanya kenapa tidak memilih Stadium Tun Abdul Razak Jengka (STAR), beliau berkata, pemilihan itu dibuat oleh jawatankuasa khas setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk logistik.

“Lagipun STAR Jengka adalah di bawah pentadbiran Felda yang mempunyai agenda mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×