Zon Bebas Kenderaan: Pelaksanaan tidak dirancang rapi

Zon Bebas Kenderaan: Pelaksanaan tidak dirancang rapi

KERK Chee Yee (tengah) bersama Khoo Poay Tiong (kiri) melakukan tinjauan di Jambatan Chan Koon Cheng, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee membangkitkan tiga persoalan terhadap keberkesanan dan mekanisme pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di Banda Hilir di sini, sejak Ogos 2023 yang membawa kepada penutupan beberapa jalan.

Chee Yee berkata, oleh kerana pada setiap bulan terdapat pengumuman pengubahsuaian atau penukaran hala jalan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), adakah pelaksanaan zon berkenaan tidak dirancang dengan teliti dan rapi?

Ujarnya, selain itu notis pengumuman pengubahsuaian atau penukaran hala jalan juga dibuat terlalu singkat iaitu antara satu hingga dua hari sebelum dilaksanakan.

Jelasnya, MBMB seolah-olah tidak mengambil kira ketidakpuasan hati pihak yang membuat aduan, meskipun ramai menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap penukaran hala jalan secara mengejut.

“Sehingga hari ini, hampir setiap bulan akan ada pengumuman pengubahsuaian atau penukaran hala jalan daripada MBMB yang dikatakan untuk menambah baik pelaksanaan.

“Adakah segala inisiatif ini dirancang dengan teliti oleh MBMB? Kenapa inisiatif penambahbaikan ini tidak diumumkan atau dilaksanakan sekali gus, kalau memang sebahagian daripada pelan tindakan ZBK?

“Adakah sesi perbincangan diadakan dengan semua pemegang taruh, wakil rakyat, wakil penduduk dan semua pihak berkenaan? Adakah pandangan semua pihak dijawab dan diambil kira? Apakah mekanisme yang memastikan segala maklum balas diambil kira dalam perangkaan inisiatif-inisiatif ini?,” katanya.

Terdahulu, Chee Yee bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan beberapa wakil rakyat DAP mengadakan tinjauan di Jambatan Chan Koon Cheng.

Tambah Chee Yee, inisiatif kerajaan negeri mewujudkan ZBK walaupun mungkin dibuat dengan niat baik, bagaimanapun tidak disambut baik semua rakyat.

“Malah mendatangkan kesan negatif terhadap peniaga, penduduk dan pelancong, maka kita harus mengkaji semula kaedah pelaksanaannya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×