KOTA BHARU: Calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mestilah bermastautin di Selangor.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut merupakan syarat utama bagi calon bertanding di kerusi berkenaan.
“Selain itu, kita juga akan mengambil kira calon boleh menang. Insya-Allah, PN akan mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi di Kuala Lumpur pada pukul 5 petang, Isnin ini.
“Mesyuarat itu akan menentukan parti komponen mana yang akan meletakkan calon bagi mewakili PN untuk bertanding di kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, PN tidak mempunyai apa-apa masalah jika DAP bersetuju meletakkan calon Melayu seperti dicadangkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
“Mengikut undang-undang negara, mana-mana warganegara Malaysia boleh menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya dan bagi kerusi DUN, calon mestilah bermastautin di negeri berkenaan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pakatan Harapan (PH) Selangor mendakwa DAP menyambut baik cadangan pimpinan PKR negeri ini supaya meletakkan calon Melayu dalam PRK berkenaan 11 Mei ini.
Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah berkata, bagaimanapun pandangan tersebut bukanlah satu keputusan sebaliknya terpulang kepada pimpinan DAP untuk memutuskan calon yang bakal bertanding. – UTUSAN










