GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya menyelenggara longkang dan parit yang tersumbat di negeri ini dengan segera bagi mencegah penularan penyakit.
Presiden CAP, Mohideen Abd. Kader berkata, hasil tinjauan terbaharu pihaknya di pelbagai lokasi di negeri ini mendapati, banyak longkang dan parit masih berdepan dengan masalah tersumbat.
“Banyak longkang belum dibersihkan dan ia turut dipenuhi dengan minyak selain sampah yang dibuang sekaligus menyebabkan ia tersumbat dan mengeluarkan bau yang busuk.
“Musim kemarau ketika ini juga memburukkan lagi keadaannya (longkang). Longkang yang berbau busuk ini boleh memberikan imej yang buruk kepada Pulau Pinang yang kini menjadi antara destinasi pelancongan terkemuka,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohideen, keadaan longkang yang tersumbat turut membahayakan kesihatan penduduk kerana longkang dan parit yang kotor ini boleh mengundang haiwan perosak seperti tikus, lipas dan nyamuk.
“Jabatan Kesihatan Pulau Pinang baru-baru ini juga ada berkata bahawa terdapat peningkatan dalam kes denggi.
“Oleh itu, MBPP dan MBSP perlu bertindak proaktif dan tidak hanya menunggu aduan dibuat. Saliran (air) di Pulau Pinang juga perlu diperbaiki untuk menampung kepadatan penduduk yang kian meningkat,” katanya.
Mohideen menambah, peningkatan projek perumahan di seluruh negeri turut menyumbang kepada masalah banjir kerana longkang di beberapa kawasan terlalu kecil dan agak sempit serta tidak dapat menampung aliran air hujan.
“Semasa hujan lebat, longkang yang tersumbat boleh menyebabkan berlakunya banjir dan ini juga boleh menimbulkan kerosakan lain disebabkan oleh air.
“Pada masa yang sama, akan muncul satu gangguan persekitaran dari segi bau yang tidak menyenangkan terutamanya dari (bahan) kumbahan serta air sisa disebabkan oleh keadaan longkang dan parit yang tidak diselenggara dengan betul,” katanya.-UTUSAN










