Keenakan kambing ranggup cicah sos Korea

Keenakan kambing rangup cicah sos Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEBALIK keunikan nama menu yang memaparkan ciri-ciri sejarah lalu, terselit keenakan dengan cita rasa tersendiri. Malah, bagi mereka yang mahu mencuba keunikan hidangan daging kambing yang digoreng rangup, pilihan jenama Chicken Royale pasti tidak menghampakan.

Menu istimewa daging kambing yang digoreng dengan tepung ini tidak liat dan tidak berbau hamis. Paling penting, keenakan dan kemanisan rasa daging goreng ini masih kekal walaupun cara masakan mungkin agak berbeza berbanding kelaziman.

Selain itu, menu dinamakan sebagai menu Sangpurba ini dihidangkan bersama kentang dan sos Korea yang agak pedas.

Berharga RM26.90, ia amat berbaloi untuk mereka yang datang secara berpasangan dan boleh dijadikan sebagai hidangan sampingan.

Sos peri-peri

Namun, ada baiknya anda mencuba sos peri-peri- iaitu taruhan terbaik di restoran ini sebagai sos tambahan dan digandingkan bersama kambing goreng disaluti tepung serta rangup ini.

Dengan rasa campuran masam dan tidak terlalu pedas, ia sesuai untuk semua lapisan peringkat umur.

Penangan sos peri-peri yang dihidangkan pasti membuatkan sesiapa saja tidak segan meminta resepi atau setidak-tidaknya datang kembali.

Untuk mereka yang tertanya-tanya rahsia di sebalik keenakannya, sos peri-peri di sini dibuat menggunakan tiga jenis cili, limau nipis dan daun ketumbar.

Sementara itu, untuk mereka yang mahu mencari kelainan menu burger juga boleh datang ke restoran jenama ini dan memesan set Burger Parameswara.

Ia mungkin sama sebagaimana burger crispy di tempat lain, tetapi roti yang digunakan di sini lebih lembut dengan saiz yang lebih besar.

Menu killer

Chicken Royale

Dibuka dari pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam
Terdapat lebih 40 jenis menu
Terletak di No 47, Jalan Suarasa 8/3, Tun Hussein Onn, Cheras Kuala Lumpur.
Antara menu lain wajib dicuba wrap; makaroni dan Salad Ayam Seri Wangsa

Pengunjung pada masa sama juga boleh mencuba menu killer di sini, iaitu ayam peri-peri sekiranya ada yang tidak gemarkan daging kambing.

Hidangan set Majnun merupakan hidangan lengkap terdiri daripada ayam goreng rangup, nasi Arab, salad dan ayam peri-peri.

Sekiranya anda memesan hidangan ini, keenakan jelas terasa bukan hanya pada ayam, tetapi turut terasa pada nasi Arab yang lembut serta berempah.

Set yang turut dilimpahi dengan keju dan disertakan dengan tiga jenis sos ini berharga RM59.90 serta boleh dinikmati antara dua ke tiga orang.

Dalam pada itu, menurut pemilik Mohd. Nazri Md. Akim, Chicken Royale memilih tanjak sebagai simbol pada restoran untuk menunjukkan lambang kekuatan dan kedaulatan kerajaan Melayu suatu ketika dulu.

 

MOHD NAZRI MD AKIM“Malah kami menggunakan nama-nama seperti Lekir (ayam-peri-peri); Badang (set talam tanpa keju) dan Teja (nasi bersama ayam ),” jelasnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×