PGA bersenjata mula kawal KLIA

PGA bersenjata mula kawal KLIA

ANGGOTA pasukan keselamatan dari unit Pasukan Gerakan Am (PGA) bergandingan dengan anggota polis mengawal keselamatan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menempatkan lapan petugas dari Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bermula semalam bagi melakukan rondaan keselamatan.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota PGA yang berpakaian ‘full gear’ diatur tugas berpasangan dengan anggota bersenjata SMG HK MP5 bagi kawalan keselamatan di aras 5 Balai Pelepasan dan Aras 3 Balai Ketibaan KLIA dan KLIA 2

Kata beliau, mereka akan di­tugaskan membuat kawalan ke­selamatan di kawasan berkenaan selama lapan jam dengan pergi­liran tiga syif.

“Kekuatan petugas PGA bagi setiap syif adalah empat anggota. Dua petugas ‘point duty’ bagi setiap aras dan anggota bertugas akan lapor masuk dan selesai tugas di pondok polis yang terletak di aras 5.

“Tinjauan dan pemantauan juga akan dilaksanakan di lapan pintu masuk dan keluar bagi aras lima dan tiga KLIA,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Razarudin ber­kata, tinjauan dan pemantauan juga akan dilaksanakan di KLIA, Terminal 2 melibatkan di aras 3 Balai Pelepasan di empat pintu keluar dan masuk.

“Selain pemantauan di aras 3, Balai Ketibaan dan tiga pintu keluar dan masuk juga turut dipantau.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA juga menggandakan kekuatan petugas mereka dengan dilengkapi dengan Senjata SMG HK MP5 bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, semua pe­tugas terlibat diingatkan agar memastikan tahap disiplin yang tinggi serta menjaga tingkah laku serta memastikan keterampilan yang kemas semasa menjalankan tugas.

Pada 17 April lalu, Menteri Pe­­ngangkutan, Anthony Loke me­ngesahkan PGA telah diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kejadian tembak baru-baru ini.

Anthony berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Da­lam Negeri (KDN) menerusi me­syuarat Kabinet yang berlangsung pada hari ini.

Menurut beliau, KDN akan membuat keputusan sama ada penempatan PGA bersifat kekal atau sementara.

Dalam insiden kira-kira pukul 1.20 pagi 14 April lalu, Hafizul Harawi, 38, melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan antarabangsa KLIA Terminal 1.

Bagaimanapun, tembakan itu terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi isteri suspek.

Susulan itu, Hafizul ditahan di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 3 petang selepas 36 jam melarikan diri selepas kejadian.

Hafizul ditahan selepas dia selesai mendapatkan laporan perubatan di hospital swasta terbabit. Suspek dipercayai mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand.

Suspek turut didapati memiliki empat kad pengenalan individu lain yang salah satu daripadanya digunakan untuk mendaftar masuk ke sebuah hotel.

Hafizul kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×