PETALING JAYA: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) optimis industri sarung tangan getah negara mencapai lantunan semula pada 2024, dengan lonjakan dijangka kepada kira-kira 450 bilion helai menjelang 2027.
Menurut kenyataannya, industri sarung tangan getah Malaysia telah menunjukkan daya tahan dan kebolehsesuaian di tengah-tengah dinamik global yang mencabar.
Katanya, unjuran ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun serta penggunaan sarung tangan yang semakin meluas dalam sektor bukan perubatan selepas Covid-19, termasuk hotel, restoran, kafe, industri semikonduktor, dan lain-lain.
“Majlis Getah Malaysia (MRC) menjangkakan lonjakan permintaan ini dan bersedia untuk menyokong industri dalam mencapai sasaran pertumbuhannya.
“Kerjasama dan pandangan yang dikongsi menjadi penting dalam mengemudi kedua-dua keutamaan kerajaan tempatan dan permintaan antarabangsa,” katanya.
Presiden MARGMA, Oon Kim Hung berkata, permintaan global untuk sarung tangan getah telah mengalami turun naik, namun komitmennya untuk menyampaikan sarung tangan berkualiti tinggi untuk dunia kekal teguh.
“Kami mesti mengutamakan keadilan, ketelusan dan kemampanan dalam semua amalan kami dan khususnya amalan penetapan harga kami,” ujarnya.
Tahun lalu, industri sarung tangan getah mengalami kemerosotan pada 2023, dengan permintaan global merosot kepada 307.2 bilion helai berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Kim Hung berkata, memandangkan iklim ekonomi semasa, dengan harga jualan purata (ASP) jatuh di bawah kos pengeluaran, industri terus mengalami kerugian pada setiap kontena yang dieksport.
Menurutnya, MARGMA terus menyokong dan berusaha ke arah yang lebih telus dan mudah diakses piawaian yang menunjukkan komitmen terhadap hak buruh.
“Menyepadukan kemampanan ke dalam amalan perniagaan menjadi tumpuan utama industri dalam menangani kebimbangan alam sekitar, mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan reputasi jenama.
“Ini boleh melibatkan inisiatif seperti proses pembuatan mesra alam, pengurangan sisa dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Ahli persatuan kami komited sepenuhnya dan telah mencapai kemajuan yang besar ke arah pematuhan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) dan Arahan Usaha Wajar Kelestarian Korporat (CSDDD) negara-negara Kesatuan Eropah,” jelasnya.-UTUSAN










