MELAKA: ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Peribahasa itu menjadi pegangan hidup seorang pemuda yang mencari rezeki dengan menjual pengelap cermin (wiper) kereta di tepi Jalan Balai Panjang, Malim Jaya di sini.
Amat jarang untuk melihat orang menjual wiper kereta di tepi jalan berbanding jualan lain seperti air balang, buah-buahan atau makanan.
Bagi Arif Anuar, 28, dia menjalankan perniagaan itu dengan bermodalkan kereta Proton Exora berwarna hijau yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dua stesen minyak.
Katanya, dia telah menjalankan perniagaan menjual wiper kereta di lokasi tersebut sejak lebih empat tahun lalu.
“Saya tetap gigih menjual wiper kereta tanpa ada rasa malu walaupun barangan itu mudah didapati di premis menjual aksesori kereta. Rezeki kurniaan Allah luas dan tiada apa yang perlu dimalukan kerana semua ini dilakukan untuk mencari sesuap nasi.
“Susah hendak mencari kerja dengan kelulusan saya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selepas habis belajar saya sambung ke sekolah pondok. Sewaktu di sekolah pondok, saya buat kerja sambilan menjual wiper kereta di tepi jalan, alhamdulillah boleh juga cari rezeki.
“Sebab itu lepas habis belajar di pondok, saya ambil keputusan untuk berniaga menjual wiper kereta sepenuh masa walaupun ada rakan cakap ia perniagaan yang tidak menguntungkan. Saya tekad dan yakin ada rezeki kalau kita gigih serta tabah dan setakat ini sudah empat tahun saya berniaga di lokasi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Arif, pendapatan bulanannya mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada beberapa faktor antaranya musim cuti persekolahan, perayaan dan cuaca.
Jelasnya, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan hujan lebat yang melanda negeri ini sejak minggu lalu, wiper kereta yang dijual antara RM15 hingga RM35 laku bagai ‘pisang goreng’ panas.
“Sewaktu cuaca panas yang melanda Melaka baru-baru ini, jualan agak merosot kadang-kadang dua atau tiga hari tidak ada wiper terjual. Jualan wiper mula mendapat perhatian pengguna jalan raya sewaktu musim hujan,” katanya. – UTUSAN











