LONDON: Kerajaan Israel dilaporkan meningkatkan pembinaan penempatan haram di seluruh Baitulmuqaddis Timur dengan lebih 20 projek baharu dimajukan melibatkan beribu-ribu unit kediaman sejak Israel melancarkan perangnya ke atas Gaza enam bulan lalu.
Malah, dokumen perancangan pantas itu dilihat sendiri oleh media, The Guardian.
Pertubuhan Hak Israel Bimkom, Perancang untuk Hak Perancangan Israel, Sari Kronish memberitahu The Guardian, walaupun banyak badan kerajaan ditutup selepas 7 Oktober lalu, pihak berkuasa perancang Israel terus memajukan rancangan pada tahap kelajuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Projek pantas rancangan ini tidak dapat ditandingi dalam tempoh enam bulan yang lalu,” tambah Kronish.
DUA PENEMPATAN BAHARU DILULUSKAN
Sebanyak dua penempatan baharu diluluskan Israel di Baitulmuqaddis Timur, kelulusan pertama kerajaan Israel dalam lebih sedekad lalu.
Israel membuat keputusan membina penempatan baharu yang dinamakan Kidmat Zion, sebuah penempatan yang mempunyai ciri keselamatan tinggi berhampiran kejiranan Palestin, Ras Al-Amud.
Satu lagi projek penempatan baharu Israel yang diluluskan Israel di Beit Safafa di mana kerja-kerja pembinaan dijalankan pada projek kediaman Givat Hamatos dan projek baharu, Givat Shaked.
Projek Givat Hamatos ditutup selama sedekad, namun kerja pembinaan disambung semula pada 2020. Bulan lalu, tapak itu kembali sibuk dengan pekerja, jentera berat dan trak.
Givat Shaked pula yang menerima kelulusan perancangan penuh pada 4 Januari lalu akan dibina di sebelah barat laut Beit Safafa.
Ia melibatkan bangunan pangsapuri tinggi dengan 700 unit rumah di di Beit Safafa di mana majoriti 17,000 orang Islam tinggal di kawasan berhampiran.
RAKYAT PALESTIN DISEKAT
Bagaimanapun, rakyat Palestin dinafikan membina rumah yang lebih besar di kawasan berkenaan serta di tempat lain kerana sekatan birokrasi Israel.
Terdahulu, projek Givat Shaked menghadapi tentangan antarabangsa berikutan bertentangan dengan perjanjian damai Oslo yang membawa kepada kritikan antarabangsa dan didesak penghentian sementara oleh Amerika Syarikat.
Walaupun begitu, projek itu mendapat kelulusan dua tahun lalu dan disokong oleh Menteri Dalam Negeri Israel, Ayelet Shaked ketika itu.
Shaked juga menolak sebarang tuntutan penguasaan Palestin ke atas timur Baitulmuqaddis dan berkata, dia tidak akan menghalang pembangunan dan pembinaan Israel di kawasan ini atau di mana-mana sahaja di bandar berkenaan.
KOMUNITI BEIT SAFAFA MENETAP 250 TAHUN
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Komuniti Beit Safafa, Ahmed Salman berkata, keluarganya berada di situ selama 250 tahun dan sekarang, dia tidak dapat melihat bagaimana anak-anak dan cucunya boleh meneruskan hidup mereka di sini.
“Kami pernah menjalinkan hubungan baik dengan majlis perbandaran, tetapi tidak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak perang, kehidupan diteruskan, tetapi mereka (Israel) meluluskan rancangan itu dan menolak semua bantahan kami. Kami merayu, tetapi kami tidak didengari,” kata penduduk berusia 71 tahun itu.











