PONTIAN: Penduduk Pekan Parit Sikom dekat sini menolak cadangan meluaskan kawasan bercukai oleh Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn) fasa 1 kerana tiada perbincangan tentang perkara tersebut.
Mereka meluahkan kecewa kerana tiada sebarang maklumat disampaikan kepada penduduk selepas taklimat meluaskan kawasan bercukai pada 12 Jun 2022 kepada penghulu dan ketua kampung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sebelum ini.
Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Md. Razi Md Jidi, 67, berkata, bantahan mengenai cadangan tersebut disampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Menurut beliau, daripada 240 pemilik rumah, 165 menolak kerana menyifatkan cadangan MPPn untuk menguatkuasakan kawasan bercukai mulai 1 Jun depan sebagai tindakan tergesa-gesa.
Dakwa Md. Razi, sesi ‘town hall’ pada 3 Mac lalu oleh MPPn seolah-olah menunjukkan penduduk telah bersetuju, tetapi sebaliknya mereka tidak mengetahui kedudukan yang sebenarnya.
“Sepatutnya dalam isu ini penduduk diberikan taklimat awal bersama-sama penghulu dan ketua kampung. Begitu juga tiada perbincangan antara Ahli Parlimen Pontian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang dengan MPPn tentang cadangan peluasan tersebut.
“Cadangan tersebut melibatkan kawasan Pekan Parit Sikom serta diluaskan sepanjang 40 jalan menghala ke Kampung Parit Pak Intan, jalan ke Parit Haji Adnan dan jalan ke Kampung Parit Haji Siraj,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Md. Razi menyifatkan tindakan MPPn itu membelakangkan penduduk kerana perbincangan tidak melibatkan wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi, hanya berbincang dengan Ahli Majlis sahaja. – UTUSAN










