PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus mengukuh berikutan penyusutan dalam beberapa mata wang asing serta polisi Bank Negara Malaysia (BNM) yang meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa pulang ringgit ke dalam negara mula menunjukkan hasil.
Ringgit ditutup pada 4.781/4.786 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pukul 5 petang semalam, daripada 4.789/4.794 yang dicatatkan pada Rabu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, mata wang seperti won Korea Selatan dan rupiah berdepan masalah ketika ini mendorong kepada pengukuhan ringgit.
Katanya, polisi BNM yang meminta GLC membawa balik ringgit dan memastikan 50 peratus jualan dibawa pulang ke dalam negara juga membantu kepada pengukuhan mata wang negara.
“Ringgit dianggarkan akan terus mengukuh dalam jangka pendek atau tempoh sebulan ini dalam 4.72 hingga 4.73 berbanding dolar AS. Saya tidak rasa ia akan melepasi angka 4.7.
“Bagaimanapun, pergerakan ringgit masih lagi bergantung kepada dolar AS selagi Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak menurunkan kadar faedahnya,” katanya di sini, semalam.
Mengulas mengenai pasaran saham pula, beliau menjangkakan indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berada sekitar 1,550 mata dalam tempoh jangka pendek.
Barjoyai berkata, faktor geopolitik di Asia Barat akan terus mempengaruhi pasaran saham dunia.
“Buat masa ini, kita masih menunggu perkembangan di Asia Barat sama ada Iran meneruskan serangan, Israel membuat serangan balas, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyebelahi Israel, reaksi daripada negara Arab lain atau sebagainya.
“Senario yang buruk jika perkara ini berterusan adalah pasaran saham New York akan jatuh dan seterusnya memberi kesan pada pasaran saham dunia yang lain,” ujarnya.
Semalam, Bursa Malaysia ditutup pada 1,544.76 naik 0.28 peratus berbanding 1,540.42 ketika ditutup pada Rabu. – UTUSAN










