KESATUAN Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menggesa pengurusan tertinggi institusi perbankan untuk memberikan lebih banyak penghargaan kepada kakitangan mereka yang berperanan sebagai nadi utama dalam menjamin operasi yang lancar dan kejayaan bank secara keseluruhan.
NUBE ingin mengingatkan bahawa faktor utama di sebalik pertumbuhan perniagaan mereka adalah hasil dari interaksi positif oleh pelanggan setiap hari bersama kakitangan bank.
Pekerja bank adalah tulang belakang yang menggerakkan perniagaan, keuntungan, dan kemakmuran bank selain memastikan operasi berjalan tanpa hambatan. Namun, pengurusan atasan sering kali memberikan gambaran bahawa sumbangan pekerja bank adalah remeh, sementara menonjolkan peranan mereka sendiri sebagai lebih penting.
NUBE mendapati penghormatan terhadap CEO bank merosot ketika mereka mengabaikan rayuan ikhlas dari pekerja mereka untuk meneruskan Bantuan Perayaan 2023.
Organisasi yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusan atasan bank menggelar diri mereka Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), seakan-akan mereka mewakili seluruh bank, sedangkan hakikatnya mereka hanya mewakili beberapa CEO bank.
Semua urusan diurus oleh Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) untuk memastikan mereka bersih dari tanggungjawab.
Janji kosong mereka sebagai majikan yang penyayang terbongkar. Sepanjang ‘pemerintahan’ mereka, fokus utama adalah memaksimumkan keuntungan peribadi dengan mengeksploitasi sistem.
Insiden terbaharu termasuk isu Bantuan Hari Raya dan masalah kekurangan ruang surau di cawangan bank.
Beberapa pekerja meluahkan kebimbangan setelah beberapa bank yang mencatatkan keuntungan besar gagal menyediakan surau yang memadai untuk solat.
Pekerja yang memberikan gambar kepada NUBE mengadu bahawa surau yang disediakan bukan hanya tidak memadai tetapi juga berpotensi tidak selamat kerana sebahagiannya adalah bilik stor yang diubah suai.
Ini menunjukkan bahawa meskipun mendapat keuntungan besar, beberapa pengurusan tidak bersedia menyediakan kemudahan yang cukup untuk pekerja beribadat selain membolehkan kakitangan mereka beraya tanpa beban kewangan.
Sebagai komuniti, kita perlu memahami dan mengakui sumbangan sebenar pekerja bank dan menolak naratif lama.
Sudah tiba masanya pekerja bank diberi penghormatan dan kerja keras serta dedikasi mereka dihargai sepenuhnya oleh pengurusan masing-masing.-UTUSAN
J. SOLOMON
Setiausaha Agung NUBE










