HARI raya adalah masa yang paling sesuai untuk kembali bersama keluarga dan sanak saudara. Ia bukan sekadar perayaan, tetapi satu peluang untuk mengukuhkan hubungan keluarga dan menjalin hubungan persaudaraan yang erat.
Satu lagi aspek penting dalam perayaan ini adalah semangat kesyukuran. Hari raya menjadi waktu untuk bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan. Ia mengajar kita untuk menghargai rezeki yang diberikan, termasuk kesihatan, keluarga dan kebahagiaan. Selain itu, dalam menyambut hari perayaan ini. Dari hiasan lampu raya yang menerangi malam, hingga bunyi bunga api yang menyemarakkan langit, hari raya adalah masa untuk merayakan dengan penuh kegembiraan.
Namun, sambil kita merayakan kegembiraan, penting juga untuk mengingati nilai-nilai dan ajaran Islam. Hari raya bukan sekadar perayaan dunia tetapi satu amalan keagamaan yang mengajarkan nilai-nilai seperti kesederhanaan, kemesraan dan kemaafan. Ia mengingatkan kita untuk sentiasa memperbaiki diri dan mengeratkan lagi hubungan dengan Allah dan sesama manusia.
Dalam konteks Malaysia, hari raya juga merupakan masa untuk merasai kepelbagaian budaya dan tradisi. Hari raya di Malaysia juga berperanan dalam penyatuan kaum dan mewujudkan persefahaman antara pelbagai etnik dan budaya yang wujud di negara ini. Ini tidak hanya memperkukuhkan ikatan sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia tetapi juga mengukuhkan identiti negara sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan perpaduan harmoni antara pelbagai etnik.
Tradisi berkunjung ke rumah-rumah membawa bersama suasana kehangatan dan kegembiraan yang menyatukan hati. Inilah yang membuatkan hari raya di Malaysia menjadi bukti keharmonian dan kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan bersama.
Namun, di sebalik kemeriahan dan kegembiraan, kita tidak boleh melupakan tanggungjawab sebagai individu dan masyarakat. Keselamatan perlu diutamakan, terutamanya semasa perjalanan berhari raya yang sering kali melibatkan perjalanan jauh. Memastikan kenderaan dalam keadaan baik, mematuhi peraturan jalan raya dan rehat yang mencukupi adalah beberapa langkah yang perlu diambil untuk memastikan perjalanan yang selamat.
Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan, dari aspek keagamaan dan spiritual hingga aspek budaya dan sosial.
Ia adalah masa untuk merayakan kemenangan rohani, bersyukur atas segala nikmat yang diberikan serta merayakan kegembiraan bersama keluarga dan masyarakat yang merentasi pelbagai budaya. Semoga perayaan ini membawa kebahagiaan, keselamatan dan kedamaian kepada semua.-UTUSAN
Selamat Hari Raya Aidilfitri!
DR. NOOR ZURAIDIN MOHD SAFAR
Pengarah Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










