JASIN: Seorang penjual tisu antara empat ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes rompakan berkumpulan tanpa senjata terhadap seorang pemandu teksi berusia 72 tahun di Jalan Parit Keliling di sini, semalam.
Kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 39 tahun itu berjaya dicekup pihak polis di sebuah hotel di Bukit Baru dekat sini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang memandu bersendirian telah didatangi empat suspek yang mahu menyewa teksinya semasa berada di Stesen Bas Tampin.
“Sebaik tiba di Jalan Parit Keliling menghala ke arah Rim, seorang suspek lelaki telah meminta mangsa memberhentikan teksi dalam kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama.
“Suspek kemudian bertindak mencekik leher dan memukul mangsa menggunakan tangan hingga pengsan. Sebaik sedar, mangsa mendapati dirinya berada dalam semak dengan keadaan berdarah,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Jamil, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, lebam mata kiri dan bengkak bibir serta paha kiri.
Menurutnya, barang peribadi mangsa seperti wang tunai berjumlah RM300, kad pengenalan, kad bank, kunci rumah, lesen memandu, telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Iswara berwarna merah turut dilarikan suspek.
“Teksi mangsa dijumpai tidak jauh dari lokasi hotel kesemua suspek ditangkap. Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai hubungan tetapi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 24 April bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










