Sampah sarap punca LRA Linggi tutup empat jam - Utusan Malaysia

Sampah sarap punca LRA Linggi tutup empat jam

TIMBUNAN sampah sarap memenuhi Loji Rawatan Air (LRA) Linggi dekat Port Dickson hingga memaksa operasi loji itu dihentikan kira-kira empat jam dan kerja-kerja membuang sampah dilakukan pada Isnin lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sikap segelintir masyarakat yang tidak peduli dengan kebersihan sungai di sebalik kempen penjagaan sungai sejak sekian lama yang menelan belanja jutaan ringgit begitu mengecewakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan menyayangi sungai masih rendah seolah-olah kempen oleh kerajaan tidak mempunyai apa-apa makna kepada sesetengah mereka.

“Sikap tidak peduli ini terpapar jelas dalam insiden Loji Rawatan Air (LRA) Linggi di sini yang terpaksa ditutup kira-kira empat jam kelmarin dan menjejaskan bekalan air kepada penduduk di daerah itu.

“Tindakan tutup itu terpaksa dilakukan selepas sampah sarap memenuhi muka air di loji berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, sampah sarap itu boleh merosakkan peralatan di loji berkenaan sekiranya ia terus beroperasi.

Jelasnya, pelbagai jenis sampah dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab sebagai jalan mudah untuk melupuskannya.

“Saya sendiri melihat perbuatan membuang sampah ke sungai ketika pergi ke Pasar Besar Seremban. Mereka melakukannya sesuka hati dan tiada adab,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau telah meminta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi mencegah perbuatan membuang sampah ke sungai.

Menurutnya, masyarakat harus bangkit dan lebih tegas menguruskan sungai dengan baik kerana ia adalah komponen alam sekitar yang amat penting kepada manusia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×