Anak Nadir tidak dapat beza bunyi mercun, roket

Anak Nadir tidak dapat beza bunyi mercun, roket

MUHAMMAD Nadir Al-Nuri Kamaruzaman (kiri) bersama isteri (kanan) dan anak-anaknya ketika mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami tidak tahu membezakan bunyi mercun atau roket yang jatuh dari langit.”

Itu luahan anak-anak Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang baru pulang ke Malaysia dari Khan Younis sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

Beliau berkata, anak-anaknya mengalami trauma yang amat mendalam apabila mendengar dentuman mercun yang sinonim dimainkan masyarakat negara ini sewaktu musim pera­yaan.

“Walaupun mereka teruja menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, anak-anak ketakutan apabila terdengar bunyi mercun dan bertanya kepada saya bunyi apakah itu.

“Trauma yang dilalui anak-anak Palestin amat berat walaupun sudah berada di tempat yang aman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Muhammad Nadir Al-Nuri mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan watak utama dalam ‘misi gila’ membawa anak-anaknya pulang ke tanah air.

Muhammad Nadir Al-Nuri dalam satu hantaran berkata, segalanya bermula apabila beliau bersama sahabatnya, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr. Ahmad Sani Abdul Alim Araby berpeluang menemui Anwar dalam satu majlis di Shah Alam.

Katanya, ketika itu beliau sempat memberitahu kepada Anwar bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Menurutnya, proses membawa pulang keluarganya itu cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat, namun tidak semua beliau berhak untuk kongsikan.

Dalam pada itu, Muhammad Nadir Al-Nuri menceritakan ke­terujaan anak-anaknya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan membeli baju baharu sejurus tiba dari Mesir dan te­rus bertolak ke kampungnya di Terengganu.

“Walaupun mereka belum sempat berehat, keterujaan dan keinginan anak-anak untuk beraya di Terengganu membuatkan saya lebih semangat untuk menyambut raya kali ini bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×